KUALA KANGSAR: Syarikat Minyak Afiat Sdn. Bhd. (Afiat) optimis untuk mencapai transaksi jualan lebih RM6 juta bagi keseluruhan produknya tahun ini.
Pengurus besarnya, Abdul Raof Ahmad Zakaria berkata, sasaran jualan tersebut adalah peningkatan sebanyak 20 atau 25 peratus daripada hasil jualan pada 2023.
Katanya, permintaan terhadap minyak afiat dan minyak hangat dijangka kekal tinggi sekali gus menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan jualan.
“Minyak afiat sememangnya mempunyai pasaran tersendiri, malah setiap tahun, produk tersebut merekodkan hasil jualan sehingga RM5 juta.
“Kami yakin, selain produk rintis yang telah berada dalam pasaran sejak tahun 20-an dibantu 12 produk lain termasuk set bersalin yang dijenamakan semula, peningkatan jualan antara RM500,000 hingga RM900,000 pada tahun ini dapat dicapai,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Syarikat Minyak Afiat dan Pembukaan Galeri Afiat di Kota Lama Kiri, di sini hari ini.
Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.
Mengulas lanjut beliau berkata, bagi mengukuhkan lagi pemasaran Afiat, pihaknya merancang untuk menembusi pasaran luar iaitu Vietnam dalam tempoh dua hingga ke lima tahun.
Jelasnya, negara itu mempunyai potensi pasaran yang boleh dikembangkan ekoran permintaan tinggi terhadap produk halal.
“Setakat ini, produk Afiat telah berada di pasaran Singapura sejak enam tahun lalu. Bagi pasaran negara itu, kita hanya bawa masuk minyak afiat dan minyak hangat.
“Perbincangan sedang dilakukan dengan wakil di sana (Vietnam) untuk kita bertapak di negara itu. Kita sasarkan produk Afiat akan menembusi pasaran negara itu dalam beberapa tahun lagi,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, pihaknya telah menjenamakan semula Set Bersalin Afiat dengan penambahan produk baharu bagi kegunaan wanita dan anak.
Malah katanya, set bersalin yang berharga RM249.90 itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri apabila dilengkapi barut yang dijahit dengan pelbagai herba.
“Sebelum ini, kita menjual antara 1,000 hingga 2,000 set bersalin sebulan, jadi dengan penjenamaan semula yang lebih segar dan menarik, kita sasarkan jualan akan meningkat sehingga 5,000 set sebulan.
“Menerusi set bersalin ini juga, kita akan mulakan sistem ejen bagi membantu suri rumah menjana pendapatan. Buat permulaan, kita sasarkan seramai 300 ejen yang mana terdiri daripada pelanggan sedia ada,” katanya. – UTUSAN







