“SAYA dah lali dengan fitnah.” Itu kata pelakon, Emma Maembong, 31, yang selalu menjadi mangsa tuduhan dan dakwaan palsu termasuk yang terbaharu, bertukar pasangan untuk kepuasan nafsu.
Ada benarnya kata Emma itu. Sejak penglibatan awalnya dalam dunia seni 12 tahun lalu, pelakon ini puas digosipkan. Jadi tidak hairanlah kalau dia mengambil pendekatan endah tak endah terhadap fitnah orang terhadapnya.
Tapi harus diingat, sarang tebuan jangan dijolok. Buruk padahnya. Kesabaran Emma ada batasnya.
“Dulu sampai sekarang, orang fitnah saya macammacam. Boleh kata, saya dan fitnah ibarat bersahabat baik. Macam-macam orang tuduh saya, digelar perempuan kelab malam, orang sunting gambar saya jadi tak senonoh dan terbaharu dituduh pula bertukar pasangan untuk seks.
“Tapi perhatikan, sepanjang saya hadap semua ini, tak pernah sekalipun saya melenting atau melatah. Saya biarkan sahaja walau berat macam manapun dakwaan yang saya terima.
“Memang saya malas melayan fitnah orang terhadap saya. Buat apa saya bagi perhatian? Tapi kalau sampai tahap melampau, saya pertimbangkan untuk rujuk undang-undang. Bukan tak ada peguam yang boleh kita lantik untuk saman. Cuma satu sahaja, yang buat fitnah itu ada duit ke nak bayar saman?,” luahnya selepas sidang media filem Jangan Pandang Belakang 2 baru-baru ini.
Kata Emma, dia bukan sengaja menutup mata terhadap sebarang penipuan yang dibuat untuk menjatuhkannya. Sebaliknya ada sebab atas tindakannya berdiam diri.
“Buat apa melatah? Kalau saya respons akan jadi berpanjangan. Buang masa. Saya ada keluarga, tak mahu anak-anak saya membesar dengan cerita-cerita tak betul pasal ibu mereka.
“Jadi saya tak akan sekali-kali melayan fitnah yang ditujukan kepada saya. Saya tahu cara kendalikannya. Biarlah semua ini berlalu,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Emma mengakui suaminya, Muhammad Shazli Azhar juga adakalanya terkesan dan berang apabila membaca fitnah yang dikaitkan dengan isterinya.
Namun kata Emma, perkara itu lebih awal dijelaskan kepada suaminya, bahkan sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
“Sebelum kami berkahwin, saya sudah jelaskan kepadanya, dia kahwini seorang selebriti, yang berhadapan fitnah dan cerita sensasi. Saya mahu dia faham kerjaya saya sebaik-baiknya.
“Ada ketika kemarahannya sedikit terjentik kalau membaca cerita tak benar pasal saya. Tapi kebanyakan masa, dia tak melenting dan akan mengesahkan dulu sebarang dakwaan mengaitkan saya.
“Saya sering ingatkan suami, tak perlu balas komen negatif orang. Buang masa. Biarkan sahaja,” kongsinya lagi.
TANGGUNGJAWAB UNTUK SEBUAH NASKHAH FENOMENA
Jangan Pandang Belakang 2 yang akan ditayangkan penghujung tahun ini merupakan filem seram pertama lakonan Emma.
Bercerita tentang filem itu, ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui berbesar hati kerana diberi peluang untuk berlakon dalam sebuah filem bertaraf fenomena.
“Saya gemuruh sebenarnya sebab Jangan Pandangan Belakang pernah mencipta fenomena dan ditonton ramai.
“Saya sebenarnya menggalas tanggungjawab besar, jadi saya akan beri yang terbaik dan ambil cabaran ini.
“Disebabkan filem ini fenomena, saya kalau boleh tak beri tumpuan pada tajuknya, takut saya tak boleh carry. Saya cuma fokus pada watak Lin yang saya lakonkan,” katanya.
Filem seram terbitan Metrowealth International Group (MIG) itu telah memulakan penggambarannya sekitar tiga hari lepas. Kata Emma banyak perkara yang perlu dijaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Filem seram ada cabaran tersendiri. Produksi juga mungkin berdepan gangguan makhluk halus ketika penggambaran.
“Saya pernah melalui pengalaman seram dalam telemovie yang saya lakonkan sebelum ini. Jadi kali ini saya bersedia, amalkan selawat dan menjaga perilaku serta ada merujuk pakar perubatan Islam tentang cara melindungi diri daripada gangguan makhluk halus,” jelasnya.