KUALA TERENGGANU: Sebanyak 63,414 notis pelbagai kesalahan motosikal dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang Ops Khas Motosikal sejak 1 Februari sehingga hari ini.
Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ Malaysia, Datuk Lokman Jamaan, kesalahan paling tinggi dikesan adalah tiada lesen memandu (CDL) iaitu 20,730 kes atau 32 peratus.
Selain itu beliau berkata, antara kesalahan popular lain termasuk lesen kenderaan motor tamat tempoh (13,829 kes), tiada insurans (12,330 kes) serta ubah suai motosikal (8,404 kes).
Menurutnta, pihaknya turut mengesan empat kes penunggang gagal ujian air kencing melibatkan penggunaan bahan terlarang iaitu dadah jenis syabu dan methamphetamine.
“Sejak 1 Februari lalu sehingga hari ini, JPJ juga telah memeriksa 263,103 pelbagai jenis kenderaan dengan 63,414 notis (motosikal) dikeluarkan manakala 3,233 buah motosikal turut disita.
“Selain itu, 8,121 kesalahan-kesalahan lain juga dikesan seperti langgar lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit dan tidak memakai topi keledar.
“Operasi khas motosikal ini dilaksakan bagi membudayakan pematuhan peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya pada Ops Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Jambatan Sultan Mahmud, di sini, hari ini. –
Sementara itu Lokman menjelaskan JPJ mengesan sikap segelintir penunggang motosikal yang sering melakukan kesalahan seperti cuai, berlumba dan membuat pusingan ‘U’ di tempat yang salah.
Katanya, tindakan itu selain melawan aliran trafik menjadi antara punca utama kemalangan maut di negara ini yang melibatkan penunggang motosikal dan pengguna jalan raya lain. – UTUSAN










