4 rakan sekerja didenda RM1,000 bergaduh depan restoran

4 rakan sekerja didenda RM1,000 bergaduh depan restoran makanan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat rakan sekerja yang tular dalam insiden pergaduhan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Bukit Bintang sini minggu lalu, masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mereka ialah Mohamad Raziman, Muhammad Nur Hafizuddin Ahmad Kasim, Adil Idham Kassim dan Mohammad Taufiq Muhammad Azman yang kesemuanya berusia 21 tahun.

Majistret M. S Arunjothy menjatuhkan hukuman itu selepas kesemuanya mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut. Jika gagal membayar denda, mereka boleh dipenjara selama sebulan. Denda itu dijelaskan.

Keempat-empat mereka bersama enam lagi yang masih bebas sebagai satu kumpulan menyalahi undang-undang, didakwa berhimpun bagi tujuan bergaduh dan melakukan kekerasan serta keganasan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang di sini pukul 8.20 malam pada 4 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam Ashraf Fahmi Abdul Aziz yang mewakili kesemua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan kesemua tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

“Kesemua tertuduh juga telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan selain pengakuan tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah,” kata peguam itu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiezah Mohamed Fauzi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kesemua tertuduh.

Sementara itu, dalam prosiding sama, seorang lagi tertuduh Obaidullah Mohseni, 32, yang merupakan warga Afghanistan mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama.

Mahkamah tidak membenarkan Obaidullah diikat jamin dan menetapkan 22 Mac ini bagi sebutan kes.

Minggu lalu media melaporkan, seramai empat warga tempatan dan seorang warga asing ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Bukit Bintang, di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 11.50 pagi selepas rakaman video kejadian itu tular di aplikasi X.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan lelaki warga asing terbabit dikatakan mengganggu seorang wanita yang juga pengurus restoran berkenaan.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 16 saat memaparkan sekumpulan individu dipercayai pekerja sebuah restoran makanan segera bergaduh dengan individu lain sementara beberapa pekerja cuba meleraikan pergaduhan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN