1,860 pemain sertai PNAGS 2024, rebut 5 slot ke Phuket

1,860 pemain sertai PNAGS 2024, rebut 5 slot ke Phuket

LOKMAN Ishak (kiri) menyaksikan Hannah Yeoh melakukan putting tanda perasmian PNAGS 2024 di The Mines Golf Resort, Seri Kembangan. Turut sama Asmat Kamaludin (dua, kanan); Mohd. Anwar Mohd. Nor (dua, kiri) dan Isac Saminathan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 1,860 pemain golf tempatan bakal merebut tiket mewakili Malaysia pada Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) 2024 di Phuket, Thailand pada 26 Oktober hingga 3 November ini.

Kesemua pemain itu akan berentap dalam 14 Siri Golf Amatur Kebangsaan Perodua (PNAGS) kali keempat yang akan berlangsung di seluruh negara di mana pusingan kelayakan pertama di The Mines Resort & Golf Club pada 29 Februari ini.

Manakala Shan Shui Golf & Country Club, Tawau, Sabah pula dipilih sebagai pusingan akhir kelayakan pada 17 Ogos.

Menurut Pengerusi PNAGS, Lokman Ishak, sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu A, B, C, D dan E di mana setiap pemenang bagi setiap kategori layak mewakili negeri ke pertandingan grand final di Forest City Golf Resort, Johor.

HANNAH Yeoh bergambar bersama para penaja kejohanan PNAGS 2024.

Katanya, pada kejohanan grand final itu nanti hanya 70 pemain terpilih bakal berentap dalam dua pusingan yang akan bermula 8 hingga 10 September ini.

“Daripada 70 pemain itu pula, hanya lima juara setiap kategori akan mewakili negara pada Kejohanan Golf Amatur Dunia di Phuket,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran kejohanan PNAGS di The Mines Resort, baru-baru ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melakukan ‘putting’ sebagai gimik perasmian pelancaran PNAGS 2024 sambil disaksikan Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin; Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor; Presiden WAGC, Isac Saminathan (kanan) dan Lokman Ishak.

Hannah ketika berucap pada majlis perasmian itu berkata, setiap pusingan kelayakan PNAGS yang akan disertai lebih 100 pemain mampu menarik pelancong asing datang ke dalam negara.

“Jadi dengan adanya jumlah bilangan pemain yang ramai, ia akan menarik minat pelancong kerana keluarga akan juga turut serta. Jadi ini bagus untuk pelancongan Malaysia.

“Bagi KBS, program ini berjalan sepanjang tahun bermula Februari sehingga September. Jadi, ia mewujudkan banyak aktiviti khasnya untuk sukan golongan warga emas.

“PNAGS adalah platform untuk pemain bukan profesional bersaing. Jadi apabila mereka mempunyai platform, ia menggalakkan semua pemain untuk bersaing dan berpeluang untuk bermain cemerlang pada peringkat nasional,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN