KUANTAN: Seramai 134 peluncur dari dalam dan luar negara berkumpul menyertai Cherating International Surf Festival yang berlangsung bermula 8 Februari dan berakhir semalam.
Festival yang dianjurkan oleh Cherating Surf Club (CSC) itu menyaksikan pertandingan meluncur yang disertai 90 peluncur negara dan 44 peluncur dari luar negara termasuk dari Kanada, Finland, Jerman, Singapura, Perancis, Jepun, Thailand, Indonesia dan Rusia.
Setiausaha CSC, Ahmad Shahrimie Abdul Muin berkata, antara kategori yang dipertandingkan adalah Shortboard Lelaki, Shortboard Wanita, Longboard Lelaki, Longboard Wanita Terbuka, Master, Bodyboard dan Grommet.
Katanya, peserta bukan hanya akan menerima hadiah wang tunai dan produk dari penaja dengan nilai keseluruhan hadiah berjumlah RM45,000, malah pemenang bagi setiap kategori juga akan dikreditkan mata untuk melayakkan diri pemilihan ke pasukan negara untuk mewakili negara dalam acara antarabangsa.
“Mata terbabit adalah mata terkumpul dari setiap pertandingan yang mereka sertai dan dengan menyertai pertandingan yang dianjurkan kali ini juga mereka akan memperoleh mata untuk melayakkan mereka mewakili negara ke acara peringkat antarabangsa,” katanya.
Kata Ahmad Shahrimie, ini adalah penganjuran pertama CSC melibatkan penyertaan antarabangsa sekali gus membantu menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat khususnya di Kampung Cherating.
“Secara tidak langsung acara sebegini mendedahkan Kampung Cherating dan Kuantan kepada dunia luar dan ia juga membantu membina jaringan antara pengusaha setempat seperti penginapan, barang kraf dan makanan kepada pelancong luar.
“Diharap pada masa akan datang kita akan luaskan lagi acara ini dengan turut melibatkan acara sukan pantai lain seperti bola sepak pantai dan boleh tampar pantai,” katanya.
Majlis berkenaan disempurnakan upacara peramian dan penutupnya oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd. Shahar Abdullah.
Shahar dalam ucapannya berkata, segala cadangan penambahbaikan program seumpama itu akan diangkat dan dibincangkan bersama kerajaan negeri.
“Kita berharap menerusi acara sebegini kita dapat maklumbalas untuk penambahbaikan mengikut standard antarabangsa.
“Ia merupakan satu acara uang cukup baik dan kita akan bawa perkara ini untuk dibincangkan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Sudah pasti kerajaan negeri akan memberi ruang dan peluang kepada segala aktiviti yang dilihat berjaya mengangkat generasi Pahang bukan sahaja di pentas nasional malah juga antarabangsa,” katanya.
Festival ini turut mendapat sokongan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Tourism Pahang, DMM Sales Sdn. Bhd., Rip Curl Malaysia Singapura, Zus Cofee Malaysia bersama 21 penaja lain termasuk Asian Surf Co (ASC) yang menyediakan hakim bertaraf antarabangsa bagi kejuaraan yang diadakan. – UTUSAN










