10 pekerja kilang hidu gas amonia bocor - Utusan Malaysia

10 pekerja kilang hidu gas amonia bocor

Gas amonia
PASUKAN bomba memeriksa kebocoran gas amonia yang berlaku dekat sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Raja di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 10 pekerja dua buah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7 di sini, dikejarkan ke hospital selepas terhidu gas amonia yang kebocoran di satu daripada premis itu, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 11 pagi tadi melibatkan mangsa tempatan iaitu lapan wanita dan dua lelaki berusia 20 hingga 30-an.

Kesemua mangsa bagaimanapun dilaporkan stabil selepas menerima rawatan oksigen.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 11.15 pagi.

Menurutnya, sepasukan lapan anggota termasuk pegawai dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikerah dalam operasi berkenaan.

“Kejadian itu melibatkan kebocoran gas amonia daripada injap tangki penyimpanannya. Kesemua mangsa terdiri daripada sembilan pekerja kilang yang mengalami kebocoran itu manakala seorang lagi iaitu pekerja kilang bersebelahan,” katanya, hari ini.

Tambah Ahmad Mukhlis, kerja bagi menutup injap bocor itu sedang giat dilakukan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kesemua mangsa yang dihantar ke Hospital Shah Alam dilaporkan dalam keadaan stabil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×