KUALA LUMPUR: Satu rang undang-undang (RUU) fixed term parliament atau penetapan penggal Parlimen disaran diwujudkan agar pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum (PRU) diadakan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau membuat saranan tersebut demi menjamin kestabilan negara agar kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli-ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.
Katanya, pengalaman pahit lalu menyaksikan negara berdepan ketidakstabilan politik ekoran pertukaran tiga Parlimen dalam satu penggal sehingga menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara.
“Saya ingin menyarankan satu RUU dibentangkan jika sesebuah kerajaan diwujudkan atas sama ada parti dominan atau gabungan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, ia harus kekal sehingga akhir penggal. Jika tidak, kita akan mengalami perkara terdahulu.
“Ia tidak baik untuk negara, kita harus bertindak positif untuk perkara ini. Biarpun politik sangat dinamik dan pragmatik, dalam hal ini harus praktikal dalam sesebuah negara.
“Kita boleh berbeza pendapat, tetapi demi kepentingan negara tidak wajar rakyat dijadikan bahan ujikaji demi kepentingan nafsu ahli-ahli politik. Cukup, belajar pengalaman lalu, kesampingkan perbezaan politik demi kepentingan kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di sini semalam.
Penetapan penggal Parlimen bermaksud tarikh pembubaran Parlimen ditetapkan undang-undang di mana Dewan Rakyat tidak boleh dibubarkan sebelum tarikh ditetapkan undang-undang.
Sebelum ini, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pernah mencadangkan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memastikan tempoh lima tahun antara pilihan raya umum, sekali gus mewujudkan tempoh tetap bagi Parlimen.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ketidakstabilan politik khususnya pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal yang berlaku sebelum ini merupakan satu pengalaman cukup pahit bagi Malaysia kerana boleh menjejaskan ekonomi dan pelaburan.
Justeru beliau menegaskan, perlu ada perubahan dan minda dalam kalangan ahli-ahli politik supaya pembentukan kerajaan menerusi hasil gabungan parti politik yang setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong mesti kekal sehingga akhir penggal.
“Kita tidak mahu tiga Perdana Menteri dalam satu penggal, ia beri kesan kepada rakyat, pengalaman lalu cukup pahit buat negara. Pelabur perlu kestabilan politik, ia kerajaan wujud atas Kerajaan Madani yang dimulakan dengan titah Tuanku, ini harus dipertahankan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid tidak mempunyau maklumat berhubung dakwaan sogokan oleh Perikatan Nasional (PN) kepada Yang di-Pertuan Agong sebanyak RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan.
“Saya hanya membaca kenyataan dari media,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, dakwaan pemimpin pihaknya cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong sebanyak RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan disifatkan sebagai fitnah melulu yang jelek, keterlaluan dan tidak masuk akal.
Muhyiddin berkata, fitnah jahat itu disambut pula oleh beberapa tokoh Pakatan Harapan (PH) termasuk yang berjawatan di dalam kerajaan. – UTUSAN










