Wanita paling pendek dunia suntik inspirasi di pentas peragaan

Wanita paling pendek dunia suntik inspirasi di pentas peragaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH tampil di pentas peragaan Minggu Fesyen New York, seorang wanita warga Haiti-Amerika berjaya meraih gelaran Rekod Dunia Guinness yang kedua sebagai model profesional paling pendek dunia.

Sebelum ini, Wildine Aumoithe dari Miami, Florida dinobatkan sebagai wanita non-mobile paling pendek di dunia.

Wildine yang hanya memiliki ketinggian sekitar 72 sentimeter (cm) dipaparkan dalam acara Runway of Dreams: A Fashion Revolution yang turut menampilkan 70 model lain dengan pelbagai jenis kecacatan dan latar belakang.

“Acara Runway of Dreams merupakan badan amal yang memperkasakan golongan orang kurang upaya (OKU) untuk meningkatkan keyakinan diri melalui bidang fesyen dan kecantikan.

“Ia merupakan detik ikonik kerana saya merupakan pemegang Rekod Dunia Guinness pertama yang muncul dalam Minggu Fesyen New York,” kata Wildine.


Dilaporkan, Wildine memperagakan koleksi pakaian jenama Target manakala kasut daripada Billy Footwear.

“Saya benar-benar menikmati acara itu, banyak pengalaman ditimba ketika bertemu dengan model lain, pengacara program dan tetamu yang hadir.

“Ketika berada di pentas peragaan, saya amat menyukai momen itu malah tidak menyedari berapa ramai yang hadir dalam acara tersebut,” katanya.

Wanita berusia 21 tahun itu dilaporkan menghidap penyakit kerdil paling jarang berlaku yang dikenali sebagai displasia Saddan.

Keadaan genetik itu menyebabkan Wildine tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda bermotor untuk bergerak.

Sebelum ini, ibu bapa Wildine dalam satu temubual memberitahu doktor memaklumkan anak mereka tidak akan hidup dalam tempoh 24 jam selepas dilahirkan akibat komplikasi dialaminya.

Namun, Wildine berjaya mengharungi segala cabaran dihadapi dalam hidupnya.

“Saya tidak pernah menyangka dapat muncul di Minggu Fesyen New York. Pengalaman ini amat berharga bagi saya,” katanya.

Antara sebab utama Wildine mahu menjadi model adalah kerana merasakan industri itu kekurangan kepelbagaian.

“Saya juga mahu memberi inspirasi kepada golongan kerdil bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja. Ketinggian sekadar angka,” ujarnya.

Wildine diberi gelaran Rekod Dunia Guinness sebagai wanita non-mobile paling pendek di dunia pada tahun 2021 ketika dia berusia 18 tahun.

Katanya, sejak menerima pengiktirafan itu, hidupnya sudah banyak berubah.

Dia kini mengikuti pengajian tahun kedua kolej dalam jurusan reka bentuk grafik.

Wildine sebelum ini bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan farmasi namun mengubah rancangan kerjayanya.

“Saya rasa minat lebih kepada seni berbanding bidang perubatan,” katanya.

Selain itu, Wildine turut berbangga dengan kemunculannya dalam dokumentari mengenai wanita tertinggi dunia, Rumeysa: Walking Tall.

Sementara itu, Wildine optimis untuk merealisasikan beberapa azam tahun baharu ini termasuk menyambung pelajaran, peragaan dan pergi melancong.

“Saya berharap untuk terus mendapat lebih banyak gig peragaan dan bekerjasama dengan banyak jenama terkenal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN