Wanita Indonesia dibunuh baru menetap di Desa Mentari

Wanita dibunuh mungkin penghuni baru di Desa Mentari

POLIS mengangkat mayat wanita dipercayai dibunuh di tepi tangga di Desa Mentari, Petaling Jaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wanita Indonesia yang dibunuh di tepi tangga tingkat lima Blok 5, Desa Mentari, di sini semalam, dipercayai baru menetap di flat tersebut.

Jiran mangsa, Saraswathy, 38, berkata, dia pernah beberapa kali terlihat mangsa di luar rumah namun tidak mengenali mangsa secara peribadi.

“Dia mungkin baru pindah di sini. Beberapa individu menyewa di sini (rumah mangsa) namun mereka hanya keluar masuk rumah, tidak mengganggu penduduk.

“Kalau penduduk atau yang sudah lama tinggal di sini, mungkin saya kenal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Menurutnya, dia terkejut dan tidak menyangka wanita yang dibunuh di tepi tangga berkenaan adalah jirannya.

“Pagi tadi saya terdengar jiran-jiran bising di luar rumah, dimaklumkan ada wanita kena bunuh. Tidak sangka rupanya jiran sebelah,” ujarnya.

Seorang lagi jiran yang enggan dikenali berkata, walaupun flat berkenaan sering berlaku kes-kes ienayah namun ini kali pertama melibatkan kes bunuh.

“Sebelum ini pernah berlaku kes samun, rompak. Tetapi kali ini saya agak terkejut apabila ada kejadian orang mati dibunuh,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pihak polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian bagi mencari bukti-bukti termasuk senjata digunakan dibantu oleh seekor anjing pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, mayat mangsa kini dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

“Kita percaya mangsa dibunuh namun perlu menunggu keputusan bedah siasat,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Fakhrudin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pada 6.30 pagi ini berkaitan penemuan wanita itu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi polis menemukan seorang wanita berusia awal 20-an dalam keadaan berlumuran darah di tepi tangga lift Blok 5, Desa Mentari di sini

“Bagaimanapun, kecederaan yang dialami tidak dapat dipastikan lagi dan masih menunggu pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)  Selangor untuk menjalankan siasatan.

“Setakat ini suspek belum dikenal pasti. Kita juga akan membuat pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kita juga akan merakam keterangan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya.

Justeru, beliau meminta mana-mana individu yang  menyaksikan kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN