KOTA KINABALU: UMNO Sabah tidak boleh hanya bergantung kepada pengundi dalam kalangan ahli-ahli parti sahaja sekiranya ingin memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, untuk menang pilihan raya, UMNO perlu menarik sokongan lebih ramai pengundi luar.
Itu sebabnya, UMNO perlu mengubah strategi dan pendekatan bagi membendung trend penolakan pengundi di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, dimensi baharu untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi perlu dilakukan agar program yang dilakukan tidak tertumpu kepada ahli-ahli UMNO atau kelompok tertentu sahaja sebaliknya, perlu diperluaskan kepada seluruh masyarakat.
“Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan program seperti program ziarah, ia lebih tertumpu kepada ahli-ahli parti sahaja. Jadi, sudah tentu ia tidak dapat memberi impak dan nilai tambah terhadap sokongan rakyat kepada UMNO.
“Selain penyokong tegar UMNO di luar sana masih ada kelompok yang tidak mempunyai parti, golongan yang uzur dan tidak berkemampuan yang memerlukan perhatian. Biarpun berlainan parti, golongan sebegitu perlu didekati.
“Jika kita dekati dengan berhemah dan penuh mesra, tidak mustahil mereka akan menyokong perjuangan UMNO,” katanya dalam Majlis Amanat Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah 2024 bersama pimpinan-pimpinan UMNO bahagian, semalam.
Justeru, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menggesa semua pemimpin UMNO meneliti semula apa yang perlu dilakukan untuk mengubah trend penolakan pengundi terhadap UMNO.
Dalam pada itu, beliau berkata, kekuatan parti bergantung kepada konsep kerja berpasukan dan sebarang perpecahan di dalam parti hanya akan mengundang kepada kelemahan dan kekalahan UMNO.
“Justeru, kita mesti terapkan budaya kerja berpasukan dan ia memerlukan pimpinan UMNO bahagian untuk bersatu serta elakkan berlaku pergesaran seperti selepas pemilihan baru-baru ini.
“Jangan wujudkan pasukan A dan B. Jika situasi sebegitu masih berlaku maka, kekuatan UMNO tidak akan mampu dicapai. Sekiranya kita mahu menang buatlah kerja cara orang mahu menang,” katanya. –UTUSAN