Tuanku Mizan titah terbitan bon IMTN RM5 bilion digantung

Tuanku Mizan titah terbitan bon IMTN RM5 bilion digantung

Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Alsultan Abdullah akan bermesyuarat hari ini dan difahamkan turut bincang pembebasan Najib Tun Razak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Mizan Zainal Abidin pernah menitahkan supaya bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion terbitan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) digantung.

Baginda menitahkan demikian selepas penilaian dan nasihat syariah daripada sebuah firma guaman berhubung perjanjian IMTN itu menunjukkan beberapa klausa tidak memihak kepada TIA selaku penerbit bon.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin berkata, situasi tersebut meletakkan Kerajaan Negeri Terengganu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap obligasi pembayaran semula bon jika TIA gagal membayar terbitan bon itu.

Beliau yang juga pegawai penyiasat kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, Tuanku Mizan kemudian menitahkan Menteri Besar Terengganu ketika itu untuk menyediakan resolusi pengarah untuk menangguhkan terbitan IMTN.

Menurut Nur Aida, penggantungan bon itu selanjutnya dimaklumkan oleh Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan di rumah beliau di Langgak Duta pada 22 Mei 2009.

Shahrol Azral adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB manakala Ismee bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB ketika itu manakala pertemuan itu turut dihadiri oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Nur Aida menyatakan demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan penyelewengan dana 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri.

Menurut pernyataan itu, Shahrol Azral dan Ismee kemudian mengeluarkan satu resolusi pengarah TIA bagi meneruskan penerbitan bon IMTN manakala surat bertarikh 27 Mei 2009 dikeluarkan kepada AmInvestment Bank untuk mengarahkan penerbitan bon diteruskan.

“Berdasarkan surat itu, AmInvestment meneruskan penerbitan bon IMTN berjumlah RM5 billion. Pada 29 Mei 2009, AmInvestment Bank mengarahkan AmBank memindahkan wang berjumlah RM4,385,920,000 ke akaun TIA di RHB Islamic dan AmIslamic.

“Selepas terbitan bon IMTN selesai, Tuanku Mizan menitahkan satu oversight committee (jawatankuasa penyelia) ditubuhkan bagi membincangkan isu penerbitan bon IMTN dan kedudukan Kerajaan Negeri Terengganu di dalam TIA,” katanya.

Nur Aida selanjutnya berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Jun 2009 dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin (timbalan perdana menteri ketika itu) dimaklumkan mengenai titah dan pandangan Tuanku Mizan berhubung pinjaman IMTN yang tidak sepatutnya diterbitkan oleh TIA kerana banyak isu dan perkara belum dimuktamadkan.

Saksi itu berkata, pada 8 Julai 2009, Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Najib mengambil maklum dan bersetuju dengan cadangan beliau (Najib) bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil alih TIA.

“Pada 22 Julai 2009, Jemaah Menteri mengambil maklum mengenai nota daripada Menteri Kewangan berkenaan langkah Kerajaan Persekutuan dalam mengambil alih TIA.

“Pada 29 Julai 2009, Jemaah Menteri mengambil maklum mengenai penubuhan Malaysia Investment Berhad dan dalam proses ini, nama TIA ditukarkan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan didaftarkan pada 25 September 2009.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung Jumaat ini.

Najib, 71, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya