Tok Mat enggan ulas isu Langkah Dubai

Tok Mat enggan ulas isu Langkah Dubai

DATUK SERI MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan enggan memberi sebarang ulasan berhubung usaha menumbangkan kerajaan menerusi Langkah Dubai.

Sebaliknya, beliau yang juga Menteri Luar hanya tersenyum apabila diasak oleh wartawan mengenai komen terhadap komplot pihak tertentu menggulingkan Kerajaan Perpaduan.

“Tanya pasal isu pelancongan sahaja,” katanya ringkas kepada pemberita yang penuh sesak menunggu beliau selepas Program Penyerahan Busana Tradisional Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kewujudan Langkah Dubai yang dilaksanakan pada akhir bulan lalu.

Beliau yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu malahan mengakui maklumat berhubung rancangan ‘tebuk atap’ tersebut diperolehnya menerusi sumber ‘perisikan’.

Walau bagaimanapun, komplot diusahakan di bandar terbesar Emiriah Arab Bersatu itu yang sepatutnya dicapai pada 1 Januari lalu dikatakan gagal apabila ditolak oleh tokoh tertentu.

Pendedahan beliau turut menafikan kenyataan beberapa pemimpin pembangkang yang mendakwa kononnya cerita itu sebagai rekaan bagi menutup kelemahan pihak kerajaan.

Terdahulu, Mohamad yang mesra disapa sebagai Tok Mat hadir menerima set busana tradisional daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata, set tersebut akan diserahkan kepada sejumlah 20 pejabat kedutaan besar Malaysia terpilih di bawah misi diplomasi budaya.

“Ini merupakan kali kedua selepas julung kali diperkenalkan pada 27 Januari 2022 lalu yang ketika itu melibatkan hanya 10 misi diplomatik utama Malaysia di seluruh dunia,” jelasnya.

Inisiatif berkenaan ujar beliau, juga selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara 2021 untuk memperkasakan lagi program dan produk warisan kebangsaan ke persada antarabangsa.

Antara pejabat perwakilan Malaysia menerima set busana itu ialah Afrika Selatan, Brazil, Australia, Belanda, Itali, Rusia, New Zealand, Uzbekistan, Sepanyol, Kanada dan Qatar,

Salah satu set diserahkan ialah kebaya yang melambangkan warisan Melayu dan etnik peranakan selain dalam kalangan komuniti tempatan di Brunei, Singapura dan Thailand.

Langkah ini sejajar dengan usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengangkat busana itu untuk diberikan pengiktirafan senarai warisan ketara dunia di bawah UNESCO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya