Tiga Kampung Baru sukar jelaskan bil lampu jalan tertunggak - Utusan Malaysia

Tiga Kampung Baru sukar jelaskan bil lampu jalan tertunggak

STEVEN Tiw Tiee Siang (tengah) menunjukkan gambar keadaan jalan yang gelap di salah sebuah kampung baru berikutan elektrik lampu jalan dipotong disebabkan tunggakan bil dalam sidang akhbar di Batu Gajah hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Tiga buah kampung baru di sini menghadapi masalah untuk menyelesaikan tunggakan bil elektrik lampu jalan, menyebabkan bekalan elektrik lampu jalan di kampung terlibat dipotong minggu lalu.

Ia melibatkan Kampung Baru Nalla dengan bil tertunggak lebih RM13,000 , Kampung Baru Bali RM14,000 dan Kampung Baru Bemban.sebanyak RM21,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tiee Siang berkata, daripada tiga buah kampung tersebut, Kampung Baru Nalla dan Kampung Baru Bali sudah disambung bekalan elektrik lampu jalan setelah bayaran dibuat.

Menurutnya, bagi Kampung Baru Bemban pula, bayaran tunggakan akan dibuat sebelum 31 Januari ini.

“Tiga buah kampung ini membayar sendiri bil lampu jalan kerana kampung ini bukan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), pengurusan kampung adalah di bawah jawatankuasa penduduk.

“Selain bil lampu jalan, kos penyelenggaraan lain ditanggung  penduduk menerusi kutipan yuran bulanan setiap rumah.

“Di Kampung Baru Bemban terdapat 500 rumah, Kampung Baru Nalla 420 rumah dan Kampung Baru Bali 440 rumah. Setiap rumah membayar RM9 hingga RM10 sebulan untuk kos penyelenggaraan.

“Namun yuran penyelenggaraan tidak begitu tinggi dikutip semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan Covid-19.

“Jumlah kutipan yang rendah semasa Covid-19, memberi kesan sehingga hari ini, menyebabkan timbul masalah untuk menjelaskan bil lampu jalan yang tertunggak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, beliau akan memohon peruntukan RM30,000 kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu kos penyelenggaraan dan bayaran bil lampu jalan di ketiga-tiga kampung tersebut.

Beliau berkata, Pusat Khidmat Ahli Parlimen dan ADUN juga akan membantu menyelesaikan masalah tersebut.

“Kami juga dalam proses memohon peruntukan daripada pejabat Parlimen sebanyak RM30,000 manakala pejabat ADUN pula akan memperuntukkan RM5,000.

“Selain itu, penduduk di ketiga-tiga buah kampung juga bersetuju dengan cadangan untuk dinaikkan yuran bagi kos penyelenggaraan iaitu kepada RM15 sebulan pada setiap rumah, bermakna RM180 setahun bagi setiap rumah.

“Saya percaya dengan kenaikkan yuran untuk kos penyelenggaraan ini, ia akan mengelak isu bil elektrik lampu jalan yang terunggak dan lain-lain kos penyelenggaraan lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN