Tiga jalan utama di pusat bandar raya Terengganu ditenggelami banjir kilat - Utusan Malaysia

Tiga jalan utama di pusat bandar raya Terengganu ditenggelami banjir kilat

SEORANG lelakl menolak motosikal mengharungi banjir kilat di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, Terengganu, pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hujan lebat di Terengganu yang bermula semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di sini mula dinaiki air awal pagi ini.

Setakat ini difahamkan tiga jalan utama di pusat bandar raya Kuala Terengganu iaitu Jalan Kamarudin, Jalan Sultan Omar dan ⁠Jalan Gong Kapas telah dinaiki air dalam banjir kilat menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka setakat ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong berkata, beberapa sekolah di daerah Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu terpaksa ditutup sementara pagi ini kerana di naiki air.

Menurutnya lima sekolah yang terpaksa ditutup (cuti bencana) di daerah Kuala Terengganu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, SMKA Sheikh Abdul Malek dan SK Gelugor dan SK Kedai Buloh.

“Di Hulu Terengganu pula, satu sekolah yang ditutup ialah SK Lubuk Periuk.

“JPNT masih dalam proses mengumpul laporan dari pejabat-pejabat daerah yang lain dan mempertimbangkan penutupannya melalui cuti bencana,” katanya ketika dihubungi di sini, pagi ini.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan ketika ini terdapat dua sungai di daerah Hulu Terengganu yang telah melepasi paras bahaya pagi ini.

Dua sungai tersebut ialah Sungai Peneh di Felda Mengkawang yang menunjukkan bacaan setinggi 37.73 meter berbanding paras bahaya 37.5 meter dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu menunjukkan bacaan 21.82 meter (paras bahaya 21 meter).

Selain itu, tiga sungai pula menunjukkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga ketika ini.

Dua daripadanya terletak di daerah Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok.

Di Kemaman, Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik juga melepasi paras berjaga-jaga dan situasi sama berlaku di Parit Utama, Padang Kemunting di daerah Kuala Nerus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya