PETALING JAYA: Keputusan untuk menentukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah kehilangan majoriti ahli Parlimen perlu diputuskan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, di bawah Perkara baharu 49A (1), (2), (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan undang-undang Anti Lompat Parti tidak menyebut mengenai Akuan Bersumpah (SD) untuk menyatakan sokongan terhadap sesuatu pihak.
Bagaimanapun, menurut beliau, penggunaan SD telah berlaku di bawah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dalam dua keadaan berlainan untuk menentukan sama ada Perdana Menteri telah hilang sokongan di Parlimen.
“Keadaan pertama pada bulan Februari tahun 2020 selepas (bekas) Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan. Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menggunakan SD ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti yang diperlukan di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.
“Dalam keadaan itu, Agong telah bersetuju dan berpuas hati bahawa Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan yang mencukupi pada hemat baginda sesuai dengan Perkara 43(2) (a),” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, penganalisis politik, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, tidak mudah untuk menumbangkan blok kerajaan dalam keadaan mereka mempunyai sokongan lebih 148 ahli Parlimen termasuk lima daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Lagipun dalam pertukaran Yang di-Pertuan Agong tidak lama lagi, bolehkah berlaku, dilayankah dan masuk akalkah? Bagaimana perasaan Yang di-Pertuan Agong baharu?
“Jadi, ini hanya permainan kenyataan politik oleh mereka yang tidak mementingkan rakyat dan negara, tetapi lebih kepada mementingkan kuasa dan kepentingan mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, Perikatan Nasional (PN) dilaporkan mendakwa pembangkang sudah mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang mencukupi bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bagaimanapun enggan menjelaskan secara terperinci perkara tersebut termasuk berkaitan akuan bersumpah (SD).
Mengulas lanjut, Jeniri berpendapat, orang ramai tidak perlu layan atau terpedaya dengan dakwaan itu yang sekadar untuk memuaskan hati penyokong mereka, namun beliau percaya ia hanya kepuasan sementara.
“Dulu lepas pilihan raya negeri (PRN) main isu ini, apa jadi? Jadi, tidak perlu kelirukan dan perdayakan rakyat.
“Tunggu saja empat tahun lagi, bersedia dan biar rakyat tentukan melalui peti undi,” katanya.
Sementara itu, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berkata, langkah politik yang didakwa itu disifatkan sebagai tidak wajar memandangkan tempoh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong hampir tamat nanti.
Malah katanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga sudah memberi isyarat supaya rakyat dan ahli politik bertenang dalam tempoh peralihan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya berpendapat jika betul rasa ada sokongan, maka bawa ke sidang Parlimen nanti dengan mengemukakan usul undi tidak percaya.
“Itu cara lebih baik dan gentleman (sikap terhormat) daripada membawa cerita-cerita yang banyak percanggahan,” katanya. – UTUSAN










