Tiada tempat yang saya mahu tinggal selain Malaysia - Utusan Malaysia

Tiada tempat yang saya mahu tinggal selain Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA sebagai pelakon teater, Nick Davis mengembangkan bakat lakonan di layar lebar menerusi filem independen bertajuk Gadoh arahan Namron pada tahun 2009.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, tidak hanya lakonan, malah Nick turut terjun ke bidang muzik sehingga pernah menerima  trofi Skor Muzik Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30.

Dedah anak kelahiran Selangor ini, pada awalnya amat sukar untuk memasuki industri lakonan arus perdana kerana dia tidak fasih berbahasa Melayu. 

Maklum sahajalah, kali terakhir belajar bahasa Melayu pada usia 12 tahun sebelum menyambung pelajaran di sekolah dengan silibus pelajaran antarabangsa. 

“Waktu di sekolah menengah, saya seolah-olah sudah lupa identiti sebagai warga Malaysia. Ketika memasuki bidang pekerjaan, barulah saya perlahan-lahan kembali mencari bahagian diri saya yang hilang. 

“Saya belajar bertutur bahasa Melayu di set penggambaran dengan kru dan para pelakon. Memandangkan saya seorang ahli muzik, saya merasakan cara bertutur dalam bahasa Malaysia memiliki tone tersendiri.

“Ia sedikit sebanyak memudahkan proses saya berbual dalam bahasa Melayu. Kini, kemahiran berbual saya sudah semakin baik, saya mahu bertutur tanpa kedengaran ada pelat Cina,” katanya kepada Pancaindera.

Berlakon dalam naskhah provokatif

Bercakap tentang identiti, terkini, Nick tampil membawakan karakter Ho Kar Leong dalam sebuah filem provokatif bertajuk Pendatang. 

Filem terbitan Kuman Pictures itu disiarkan dua minggu lalu menerusi YouTube bagi mengelak daripada sebarang potongan oleh Lembaga Penapisan Filem. Kos pembikinan filem juga diperoleh daripada kutipan dana daripada penonton. 

“Pendatang adalah sebuah projek yang sangat istimewa. Ia membawa isu penting yang sensitif tentang perkauman. Sebenarnya sehingga hari ini, sifat perkauman memang wujud. 

“Saya tidak pernah berhadapan secara langsung dengan situasi rasisme tapi saya lihat dan dengar pengalaman daripada orang sekeliling. 

“Oleh itu, saya merasakan filem ini penting agar kita boleh mencetuskan sebuah dialog sihat untuk lebih memahami antara satu sama lain. 

“Saya sayang Malaysia, tiada tempat yang saya mahu pergi selain negara ini,” tambahnya.

Ditanya mengenai azam 2024, pelakon Gamers Mangkuk itu bakal tampil dalam sebuah filem sains fiksyen arahan Syafiq Yusof yang dijangka menemui penonton tahun ini. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya