Teroka ke dasar filem Minion - Utusan Malaysia

Teroka ke dasar filem Minion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FILEM animasi komedi, Minion pernah mencetuskan fenomena dengan meraih kutipan pecah panggung hanya dalam tempoh empat hari.

Menjadi kegilaan ramai, filem menampilkan watak Minion berwarna kuning ini pantas mencuri tumpuan di beberapa negara yang menterjemahkan dalam bentuk pameran.

Bagaikan menyelam ke dasar filem animasi itu, Resorts World Genting membawakan pameran A Minion’s Perspective yang berkonsepkan hibur didik.

Pameran selama tiga bulan ini mendapat pelesenan dari Universal Live Entertainment, Illumination yang dikendalikan oeh Beast Kingdom Co., Ltd.

Ia juga adalah rentetan kejayaan pameran jelajah di Seoul, Shenzhen, Shanghai, Pulau Jeju, Taipei, Dalian dan Singapura.

Bukan kanak-kanak sahaja, bahkan penulis berasa teruja kerana berpeluang menjadi individu pertama merasai pengalaman menakjubkan bersama delegasi media dan pempengaruh media sosial lain.

Tarikan baharu seluas 1,800 meter persegi ini berlangsung selama tiga bulan sehingga Mac ini.

TARIKAN MEMUKAU

Pameran ini menguji kemahiran pengunjung menerusi pelbagai permainan interaktif, mengambil gambar dengan watak kegemaran seperti Scarlet Overkill, Felonious Gru, Kevin The Minion dan Stuart the Minion.

Bagi ibu bapa, hati-hati kerana anak anda pasti begitu asyik bermain bola kuning dan putih usai melewati Zon Minion.

Sama ada mereka ‘lemas’ dalam lautan bola, atau anda menjadi sasaran balingan mereka. Ada juga permainan yang boleh bermain bersama anak-anak yang menguji kepantasan dan sasaran pada papan pemuka.

Namun, usah bimbang kalau zon ini menyebabkan anda terpaksa melaburkan masa.

Destinasi seterunya menjanjikan pelbagai sudut bergambar terbaik sekaligus menjadi detik romantis untuk anda bergambar bersama isteri tercinta.

UJI MINDA

Lebih menarik, setiap tarikan disertakan penunjuk arah dalam simbol tapak kaki bagi memudahkan anda menangkap gambar dari sudut darjah terbaik.

Paling berbekas dalam memori penulis ialah permainan mengingati langkah dalam tempoh kurang lima saat.

Seperti meniti jambatan berlampu, pengunjung perlu tentukan darjah kesukaran untuk sampai ke garisan penghujung.

Berkali-kali penulis cuba menjejak langkah sampai ke penghujung, namun tidak berjaya. Rasanya kanak-kanak pasti mudah mengingati cabaran yang kelihatan mudah ini.

Tipsnya mudah seperti dikongsikan kru di lokasi itu, lapangkan minda, buang segala masalah di luar, dan ingat kiraan 3,2,1.

MAKMAL PINTAR

Mujur penulis pernah bermain permainan Minion dalam aplikasi telefon pintar. Terasa seperti memasuki semula ke dalam permainan itu, usai melewati Gru’s Lab.

Dengan bunyi suara Minion di corong-corong bunyi, terasa seperti mahu menangkap makhluk kecil berwarna kuning yang terkenal dengan ‘kenakalan’ mereka.

Di ruangan ini, penulis merasakan seperti berada di dalam sebuah makmal operasi. Bagaimana tiga watak Minion kegemaran ramai pernah bekerja iaitu Kevin, Stuart dan Bob.

Sepanjang jelajah ini, usah risau sekiranya anda keliru untuk bermain permainan interaktif yang disediakan. Di setiap bahagian, terdapat kru bertugas persis ejen Minion memakai baju kuning yang sedia berkhidmat.

Hasil semakan di laman sesawang pencarian A Minion’s Perspective di Resorts World Sentosa, Singapura, lokasi ini hampir mendapat markah penuh berdasarkan maklum balas pengunjung.

Tidak mustahil, lokasi sama di Malaysia mampu menjadi daya tarikan baharu dan memikat hati kanak-kanak.

Itu menjadi keyakinan Naib Presiden Kanan, Taman Tema, Sewaan dan Acara Resorts World Genting, Aaaron Soo yang optimis ia mendapat sambutan hebat pengunjung.

“Lebih-lebih lagi ketika kerajaan memberikan pengecualian visa selama 30 hari bagi rakyat China dan India ke negara ini, bermula 1 Disember lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya