Tarik balik Man On The Run: Biar mahkamah putuskan

Tarik balik Man On The Run: Biar mahkamah putuskan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi menyerahkan sepenuhnya kepada pihak mahkamah bagi menentukan permohonan untuk menarik balik tayangan filem dokumentari ‘Man On The Run’.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, permohonan itu perlu dirujuk kepada pihak mahkamah kerana ia telah dizahirkan di mahkamah.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, pihaknya tidak boleh mendahului mahkamah dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

“Memandangkan ia suatu perkara yang telah dizahirkan dalam mahkamah, maka, kita perlu rujuk perkara itu kepada mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, beliau juga mendapatkan nasihat daripada Peguam Negara dan penasihat undang-undang kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai perkara itu.

Fahmi berkata, pandangan ketiga-tiga pihak itu selari dan selaras bahawa tidak berlaku apa-apa isu ketika filem dokumentari itu ditayangkan di khalayak umum pada Oktober tahun lalu.

“Filem itu ditayangkan di pawagam pada bulan Oktober tahun lalu dan pada waktu itu, Lembaga Penapisan Filem memberi kelulusan tayangan,” katanya.

Sebelum ini, Peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika memberitahu Mahkamah Tinggi, mendakwa dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu sangat subjudis terhadap anak guamnya kerana perbicaraan 1MDB sedang berjalan, dan pendakwaan terikat dengan tanggungjawab untuk mengambil tindakan segera.

Man on the Run ialah dokumentari yang diarahkan, ditulis dan diterbitkan oleh Cassius Michael Kim, berkisar mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditayangkan di negara ini pada 19 Oktober tahun lalu.

Ia turut memaparkan temubual Najib yang menafikan pembabitan dalam skandal terbabit, selain temu bual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Sementara itu, Fahmi juga memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan isu Lembaga Pengampunan membabitkan Najib. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN