Tapak penjaja Lorong Bukit Dumbar terbakar akan dibangunkan semula  - Utusan Malaysia

Tapak penjaja Lorong Bukit Dumbar terbakar akan dibangunkan semula 

A. RAJENDRAN (kanan) meninjau tangki air yang akan ditempatkan di lokasi-lokasi dikenal pasti di sekitar kawasan pulau di Pulau Pinang sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan air minggu depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Tapak penjaja sementara (TPS) di Lorong Bukit Dumbar, Jelutong dekat sini, yang hampir musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran awal pagi semalam akan dibangunkan semula dalam tempoh terdekat.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ir. A. Rajendran berkata, pembangunan semula itu akan melibatkan pembinaan struktur baharu di TPS terbabit yang akan mengambil masa sekurang-kurangnya sembilan bulan untuk disiapkan.

”Selepas siasatan daripada pihak bomba selesai, baru kita akan mulakan pembangunan semula melibatkan pembinaan struktur baharu TPS tersebut.

”Sebanyak 16 penjaja di TPS itu terjejas dengan kejadian terbabit, ada beberapa gerai yang boleh digunakan tetapi ia tidak selamat kerana dikhuatiri berlaku renjatan elektrik, jadi kita tidak benarkan sesiapa pun jalankan perniagaan di situ,” katanya di sini hari ini.

Awal pagi semalam, sebanyak 16 gerai di Tapak Penjaja Lorong Bukit Dumbar, Jelutong dekat sini, hampir musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Rosli Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran pada pukul 5.32 pagi namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Menurut Rajendran, perancangan untuk menaik taraf TPS itu memang telah ada sebelum berlaku kebakaran semalam, iaitu melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM400,000.

Dalam pada itu, katanya, para peniaga di TPS itu akan ditempatkan di TPS lain yang sesuai buat sementara waktu.

”Kita telah kenal pasti beberapa tempat untuk mereka berpindah sementara untuk jalankan perniagaan.

”Kita juga akan dapatkan pengesahan peniaga terlibat untuk kita bina bumbung dan struktur tambahan sementara di TPS yang sesuai untuk mereka berniaga sementara sehingga TPS Lorong Bukit Dumbar selesai dinaik taraf,” katanya.

Tambah beliau, MBPP juga meminta para peniaga untuk membuat laporan polis berhubung kejadian kebakaran tersebut untuk memudahkan sebarang penyaluran bantuan kepada mereka yang terlibat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya