CAMERON HIGHLANDS: Dua pekerja kebun warga asing ditemukan maut manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di Batu 59, Kampung Raja, di sini, semalam.
Mayat mangsa pertama, Haphey, 36, dijumpai pada pukul 5.40 pagi manakala mangsa kedua yang belum dikenal pasti identiti ditemukan pada pukul 12.40 tengah hari.
Difahamkan, kejadian runtuhan itu disedari oleh rakan sekerja mangsa yang tinggal di rumah pekerja berhampiran setelah terdengar bunyi dentuman kuat.
Ketika kejadian, kesemua mangsa yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu dikatakan sedang tidur.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan sempurna pada jarak berhampiran antara satu sama lain.
Katanya, mangsa yang terlibat dalam runtuhan itu adalah pasangan suami isteri dan bapa mentua serta dua rakan mereka.
“Operasi mencari mangsa masih diteruskan dan setakat pukul 5 petang semalam, dua mangsa dijumpai manakala tiga lagi masih hilang. Kerja-kerja pencarian diteruskan sehingga pukul 10 malam.
“Setakat ini, tiada lagi pergerakan tanah dikesan di lokasi kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini.
Menurut Azri, operasi mencari tiga lagi mangsa sedang dipergiat dengan kekuatan 84 anggota di lokasi runtuhan termasuk daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm).
Katanya, kerja-kerja mencari mangsa terpaksa dilakukan secara manual menggunakan cangkul dan penyodok berikutan jentera berat tidak boleh masuk ke lokasi kejadian.
“Keadaan tanah yang lembut dan jalan yang sempit serta curam menyebabkan kenderaan berat sukar masuk ke lokasi runtuhan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) mengesan beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai tempat mangsa dipercayai tertimbus.
Katanya, kerja-kerja mengorek kawasan tersebut sedang dijalankan melibatkan sektor B dan C dengan keluasan 25 meter.
“Kerja-kerja pencarian adalah secara manual. Kita cuba mencari laluan lain untuk ke lokasi kejadian namun masih negatif,” katanya.
Kejadian tanah runtuh di kawasan kebun sayur itu dilaporkan kepada polis pada pukul 2.10 pagi membabitkan dua buah rumah pekerja warga asing yang didiami lima orang termasuk seorang wanita.
Mangsa yang terlibat dikenali sebagai Shing Lan Har, 56; Shing Aung, 39; Om Myue, 38; Haphey dan Thang Moung, 25. – UTUSAN










