Tambah kuota doktor pakar kanser

Tambah kuota doktor pakar kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu membuka lebih banyak peluang kepada pegawai perubatan khususnya dalam kalangan kontrak bagi mengisi slot latihan kepakaran terutamanya dalam bidang onkologi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK) berkata, slot latihan kepakaran tersebut perlu dibuka lebih banyak berbanding kuota yang sedia ada kini.

Menurutnya, ini kerana kuota latihan kepakaran onkologi sedia ada agak terhad berdasarkan beberapa faktor seperti bilangan hospital pengajar kepakaran onkologi yang terhad.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hartal mengambil maklum dengan perkembangan terbaru berkenaan situasi itu dan turut mengakui Malaysia bakal berhadapan dengan krisis perawatan kes kanser dalam masa beberapa tahun sekiranya angka yang diunjurkan tidak dapat memenuhi keperluan masyarakat.

“Dengan kadar saringan kes kanser yang lebih kehadapan kini, dianggarkan bilangan kes pesakit kanser juga akan meningkat. Proses latihan kepakaran juga mengambil masa yang lama bagi mengejar angka-angka statistik tersebut.

“Pihak Hartal yakin sekiranya lebih banyak peluang dibuka, ramai dalam kalangan doktor kontrak sendiri bersedia untuk merebut peluang tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Malaysia memerlukan lebih ramai pakar kanser atau onkologi berikutan peningkatan lebih 50 peratus pesakit serta kadar kematian akibat penyakit itu dalam tempoh 10 tahun iaitu 2012 hingga 2022.

Daripada 80 pakar onkologi yang berkhidmat pada 2015, bilangan itu hanya meningkat kepada sekitar 130 orang pada tahun ini sedangkan Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 300 pakar onkologi berdasarkan kepada kes-kes kanser yang diterima.

Menerusi data Persatuan Onkologi Malaysia pula, negara hanya mempunyai 54 buah hospital yang mempunyai pusat kanser serta cuma ada sebuah klinik onkologi namun tiada pusat kanser di Perlis dan Terengganu, manakala di Kedah, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan mempunyai sebuah pusat kanser.

Mengulas lanjut, jurucakap HDK berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan peluang doktor untuk melanjutkan latihan kepakaran onkologi di luar negara sebagai alternatif.

Bagaimanapun, katanya, strategi kerjasama dengan universiti luar negara perlu dirangka dengan khusus seperti program kerjasama Malaysia dan Ireland dalam Latihan Kepakaran Kesihatan Keluarga (MInTFM).

Jelas beliau, jika isu kekurangan doktor kanser tidak diatasi segera, Malaysia berkemungkinan terus mengalami krisis kesihatan apabila pesakit kanser semakin bertambah.

“Wujud kemungkinan akan berlaku kelewatan dalam rawatan yang berkesan dalam kalangan pesakit kanser,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini