KUBANG PASU: Seorang wanita yang sarat mengandung dan suaminya ditahan bersama 10 ketulan mampat dadah disyaki ganja yang disorok dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, ganja seberat 10 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM32,000 itu ditemukan disorok di ruang kosong tempat duduk penumpang belakang kenderaan dinaiki pasangan warga tempatan itu.
Katanya, wanita yang memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah tersebut dijangka melahirkan anak sulung mereka pada 21 Januari ini.
“Kenderaan bernombor pendaftaran negara jiran itu ditahan pada pukul 11.50 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota polis yang melakukan rondaan dan kawalan di kawasan tersebut.
“Pemeriksaan mendapati, kenderaan itu bukan milik mereka sebaliknya atas nama individu lain di Thailand. Malah, semakan terhadap pas sempadan kedua-dua mereka mendapati pasangan itu sering keluar masuk ke Thailand, setiap bulan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini, hari ini.
Rodzi berkata, pihaknya turut mendapati tangki minyak kenderaan tersebut telah diubah suai seperti yang biasa digunakan oleh penyeludup bahan bakar.
“Pasangan suami isteri berusia 34 dan 35 tahun itu yang tidak bekerja turut positif ganja selepas ujian saringan air kencing dijalankan terhadap mereka,” katanya.
Tambah beliau, lelaki tersebut turut memiliki lapan rekod kesalahan berkaitan dadah dan dua lagi rekod kesalahan jenayah lampau.
“Setakat ini kami masih menyiasat sama ada mereka mempunyai rangkaian dengan sindiket tertentu atau bertindak sendirian.
“Kesemua dadah ini dibawa masuk dari negara jiran untuk dipasarkan di utara tanah air dan jika terlepas ke pasaran dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 3,200 penagih,” katanya.
Menurut Rodzi, kedua-dua mereka direman di lokap Balai Polis Jitra hingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. –UTUSAN