PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu rasuah lebih RM6 juta melibatkan sebuah persatuan bola sepak.
Satu sumber mendedahkan, siasatan membabitkan kes rasuah itu dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek-projek di negeri berkenaan jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan.
Kata sumber itu, berdasarkan siasatan, terdapat individu penting berjawatan tinggi di Kerajaan Negeri dan di persatuan bola sepak berkenaan yang berjanji akan memberikan projek pembinaan dan perkhidmatan sebagai balasan kepada kontraktor yang menyumbang dana.
“Namun, selepas menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek sebagaimana dijanjikan individu terbabit,” katanya.
Sumber berkata, kontraktor yang rasa ditipu itu telah membuat laporan kepada SPRM atas penawaran projek yang dijanjikan kepada mereka oleh individu berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan, akan memanggil Menteri Besar negeri berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Pada 7 Januari lalu, Muhammad Sanusi mendakwa, wang RM6 juta yang dikaitkan dalam isu rasuah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah sumbangan sebuah syarikat.
Menteri Besar Kedah itu berkata, syarikat terbabit mempunyai konsesi projek loji rawatan air di negeri ini dan berharap konsesi tersebut akan disambung.
Beliau yang juga Presiden KFA bagaimanapun, menjelaskan kerajaan negeri tidak menyambung konsesi syarikat itu dan syarikat terbabit kemudian meminta wang sumbangan RM6 juta itu dipulangkan semula.
Terdahulu, media melaporkan, SPRM menahan reman empat individu termasuk CEO KFA masing-masing berusia 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM6 juta. – UTUSAN










