SEREMBAN: Isu jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan yang kini disandang oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu perlu diselesaikan segera demi kelancaran gerak kerja parti itu di negeri ini.
Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan dan juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, isu kedudukan Ahmad Faizal itu timbul selepas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu tidak memainkan peranan sebaiknya selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.
Jelas beliau, perkara tersebut tidak sewajarnya berlaku sedangkan PN Negeri Sembilan mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dan perlu untuk parti itu di negeri berada dalam keadaan stabil terutama di peringkat kepemimpinan bagi memberikan khidmat kepada rakyat.
Katanya, apatah lagi ketika kelima-lima orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN di negeri ini yang sehingga kini tidak memperoleh sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri bagi menjalankan tugas masing-masing.
“Kedudukan Pengerusi PN di negeri adalah keputusan PN Pusat, buat masa sekarang di Negeri Sembilan (pengerusi) masih lagi Datuk Seri Ahmad Faizal, saya selaku Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan mengharapkan biarlah ia diselesaikan dengan cepat. Bagi saya tiada masalah jika PN Pusat mahu kekalkan (Ahmad Faizal) asalkan gerak kerja di negeri ini boleh berjalan seperti biasa.
“Namun saya terpaksa berterus terang, sejak PRN lalu, memang beliau (Ahmad Faizal) tidak lagi mengambil tahu keadaan PN di negeri ini, kami sudah menang lima kerusi, oleh itu perlu dibuat kerja dan usaha penyelarasan terutama bagi membantu kesemua ADUN kita ini.
“Sedia maklum bahawa peruntukan untuk ADUN pembangkang di Negeri Sembilan masih belum dilaksanakan, sebab itu sangat penting untuk PN Negeri Sembilan bertindak melakukan sesuatu bagi memastikan wakil rakyat PN ini iaitu dua dari Bersatu dan tiga dari Pas boleh melaksanakan tugas di DUN masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Rafiei berkata, walaupun kelima-lima ADUN itu sedang berusaha di atas kapasiti sendiri di DUN masing-masing namun kesemua mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja di peringkat parti.
“Kami faham masalah-masalah yang dihadapi oleh ADUN-ADUN ini, sebab itu di peringkat PN perlu ada suatu tindakan bagi memastikan sekurang-kurangnya mereka tidak dibiarkan, oleh itu PN harus memainkan peranan dan peranan pengerusi itu cukup penting.
“Alhamdulillah di peringkat Pas, kami telah tubuhkan Sekretariat DUN untuk membantu tiga orang ADUN dari Pas itu namun seharusnya ia digerakkan atas nama PN, dalam Badan Perhubungan perlu ada sekretariat DUN ini, mahu atau tidak ADUN-ADUN perlu dibantu supaya PN benar-benar dapat memainkan peranan seperti mana yang dijanjikan, mungkin rakyat faham kekangan namun khidmat mesti diberikan,” katanya lagi. – UTUSAN











