Sebahagian pernyataan Zarul Ahmad boleh diguna pakai

Sebahagian pernyataan Zarul Ahmad boleh diguna dalam prosiding cabar kredibiliti saksi

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan sebahagian pernyataan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), boleh digunakan pada prosiding mencabar kredibiliti ahli perniagaan itu pada perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng.

Hakim Azura Alwi memerintahkan pihak pendakwaan menyerahkan sejumlah 31 daripada 108 muka surat kepada pihak pendakwaan sebelum tarikh sebutan pada 17 Januari ini. Prosiding selanjutnya dijadual pada 26 dan 27 Februari ini.

Pernyataan itu melibatkan muka surat 5 hingga 14, 23 hingga 27, 52 hingga 53, 69 hingga 72 dan 99 hingga 108.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihaknya memerlukan tempoh selama dua minggu untuk menyediakan salinan pernyataan tersebut manakala baki muka surat perlu ‘digelapkan’.

Dalam prosiding itu, Azura turut melapangkan tarikh perbicaraan yang sepatutnya disambung pada 16 dan 17 Januari ini.

Sementara itu, peguam R.S.N. Rayer berkata, wujud perkembangan baharu dalam kes tersebut apabila Gobind Singh Deo tidak lagi mengetuai pasukan pembelaan selepas menganggotai Kabinet, Disember lalu.

Dalam pada itu, peguam Haijan Omar memohon agar perbicaraan pada 16 dan 17 Januari dilapangkan kerana pihak pembelaan memerlukan masa untuk meneliti pernyataan yang diserahkan sebelum memulakan prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad.

Pada 17 November 2023, pihak pendakwaan menyerahkan kepada mahkamah keseluruhan kandungan pernyataan setebal 108 muka surat untuk diteliti terlebih dahulu.

Pada 2 November lalu, Azura membenarkan pasukan pembelaan memulakan prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad yang merupakan saksi penting pendakwaan pada perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.

Beliau ketika itu pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. CZCSB dahulunya dikenali sebagai Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Mahkamah akan menentukan sama ada wujud percanggahan pernyataan saksi pendakwaan ke-23 (SP23) itu ketika siasatan satu kes berlainan di Shah Alam dengan keterangannya ketika menjadi saksi kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Salinan pernyataan Zarul Ahmad yang direkodkan oleh SPRM dalam kes melibatkan ahli perniagaan, G. Gnanaraja di Shah Alam.

Pihak pembelaan mahu menyoal pengarah syarikat itu berhubung isu wang RM2 juta masing-masing untuk Guan Eng dan Najib yang diberikan melalui Gnanaraja selaku orang tengah pada 2017.

Gobind membayangkan bahawa Zarul Ahmad menipu kerana pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu oleh saksi-saksi lain bahawa penyerahan hanya melibatkan wang RM2 juta, bukan RM4 juta.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya