PETALING JAYA: Selebriti sensasi, Azwan Ali mendedahkan dirinya mengetahui kondisi kesihatan wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, yang menghidap kanser sejak beberapa tahun lalu.
Azwan atau mesra disapa sebagai Diva AA berkata, dia bagaimanapun mengambil langkah tidak bertanyakan lebih lanjut kepada empunya diri kerana menghormati isu privasi masing-masing.
“Saya tahu arwah Fiza (Siti Nor Hafiza) menghidap penyakit (kanser) sejak beberapa tahun lalu. Saya diamkan sebab respek dengan kehidupannya.
“Tak sangka arwah pergi dalam usia yang cepat, ketika masih muda. Saya tidak sesekali melupakan kenangan bersama rakan wartawan seperti arwah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Azwan menyifatkan arwah sebagai seorang pelapor yang berkaliber dan sangat memahami tugas sebagai wartawan.
“Arwah hanya akan menulis apa yang kita cakap sahaja. Kalau temu ramah dengan saya, arwah selalu memberikan kenyataan yang tepat dan hanya menulis apa yang saya cakap sahaja.
“Itu sikap arwah yang memang saya puji. Saya juga tidak akan lupa kenangan arwah menulis tentang saya semasa beliau masih berkhidmat di Astro Gempak,” ujarnya.
Jenazah Siti Nor Hafiza yang meninggal dunia di Hospital Charing Cross, London akibat pendarahan otak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pukul 7.15 pagi tadi.
Jenazah ibu kepada dua cahaya mata itu akan dibawa ke Masjid Jamek Kampung Baru untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves, Selangor, hari ini.
Jumaat lalu, arwah yang menghidap kanser payu dara rebah ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heatrow, London untuk pulang ke tanah air selepas menghabiskan cuti selama dua minggu.
Kali terakhir, dirinya berkhidmat sebagai editor portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media.