Sanusi nafi arah pindah untuk lengah kes - Utusan Malaysia

Sanusi nafi arah pindah untuk lengah kes

Sanusi
MUHAMMAD Sanusi Md. Nor ditemui pemberita selepas selesai prosiding pengurusan kesnya di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan tindakan memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi bukan bertujuan melengahkan perbicaraannya seperti mana didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, keputusan tersebut dibuat bagi memudahkan pihak pendakwaan dan pembelaan merujuk kepada isu undang-undang lebih rumit yang akan dikemukakan semasa perbicaraan.

“Saya buat permohonan (memindahkan kes) ini mengikut peraturan, ikut undang-undang yang dibenarkan. (Mengenai) persoalan undang-undang, saya serahkan kepada peguam.

“Dari segi moral, saya sedang menunjukkan contoh yang baik dan akan sentiasa patuh dengan setiap prosiding mahkamah yang akan ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pengurusan kes bagi memindahkan dua pertuduhan tersebut dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh 1 Februari ini bagi pendengaran permohonan Muhammad Sanusi untuk memindahkan kesnya itu.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan balas pada atau sebelum 29 Januari ini.

Pada hari ini, peguam Hasshahari Johari Mawi mewakili Muhammad Sanusi manakala pasukan pendakwa sebagai responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri pada 11 Januari lalu memfailkan permohonan memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. 

Menerusi notis berkenaan, pemindahan ke Mahkamah Tinggi bertujuan untuk memudahkan pihak-pihak merujuk kepada isu undang-undang yang rumit akan dikemukan semasa perbicaraan.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi berdepan dua pertuduhan menyebut perkataan berunsur hasutan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, Selangor pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.

Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya