Qari Malaysia zahir kesyukuran terima banglo 

Qari Malaysia zahir kesyukuran terima banglo 

MOHD. Nassuruddin Daud (kanan) semasa menyerahkan banglo kepada Muhammad Qayyim Nizar Sarimi di Wadi Iman Eksklusif Tanah Merah, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Johan tilawah peringkat antarabangsa 2023,  Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 26, menzahirkan rasa syukur selepas Kerajaan Negeri Kelantan menghadiahkan sebuah rumah banglo bernilai RM420,000.

Muhammad Qayyim Nizar ketika ditemui pemberita hari ini menyifatkan hadiah itu merupakan satu  penghargaan buat dirinya selepas menerima rumah yang dilengkapi kemudahan empat bilik tidur dan bilik air.

“Syukur di atas rezeki ini, ia sangat luas dan cukup selesa untuk kami sekeluarga,” katanya selepas majlis penyerahan rumah banglo itu di Wadi Iman Eksklusif Tanah Merah yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Sementara itu, Rozan Mohamed, 52, memberitahu, dia tidak menduga anaknya akan menerima rumah seindah itu.

“Ini rumah Muhammad Qayyim Nizar, dia masih lagi belajar di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri di Kota Bharu.

“Sekiranya anak saya dipertemukan jodoh suatu hari nanti, dia sudah ada rumah sendiri untuk diduduki,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Nassuruddin berkata, kerajaan negeri pernah menyampaikan hadiah rumah  banglo kepada tiga johan tilawah sebelum ini iaitu pada tahun 2012, 2016 dan 2018 dan kali ini kepada johan tilawah bagi tahun 2023.

“Ini sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri  agar lebih ramai lagi Qari dan Qariah lahir di negeri ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN