Projek kuari cemar sumber air diarah henti sementara operasi - Utusan Malaysia

Projek kuari cemar sumber air diarah henti sementara operasi

SAARANI Mohamad (dua dari kanan) melancarkan Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping di Dataran Warisan di Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Projek perlombongan kuari di kawasan Hutan Simpan Piah di Sungai Siput yang dibantah penduduk Orang Asli di kawasan itu kerana menyebabkan pencemaran sumber air diarah memberhentikan sementara operasinya.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, arahan tersebut dibuat oleh Perbadanan Menteri Besar selepas siasatan dilakukan berhubung aduan penduduk mengenainya.

Menurutnya, berikutan perkara itu dibangkit oleh penduduk, pihak operator kuari bersetuju untuk membantu penduduk kampung yang terjejas sumber air.

“Kerja-kerja pembangunan kuari oleh Perbadanan Menteri Besar dimulakan sejak September 2023 selepas mendapat kelulusan daripada agensi teknikal yang berkaitan.

“Namun berikutan aduan penduduk berlaku pencemaran sumber air akibat projek kuari itu, kita menjalankan siasatan dan mengambil tindakan pantas dengan mengeluarkan arahan pemberhentian sementara operasi kuari itu.

“Operator yang dilantik juga sudah menjalankan kerja-kerja remidi dengan serta merta di lapangan dan bersetuju untuk membantu penduduk kampung yang terjejas.

“Tangki air tambahan yang lebih baik akan dibina di kawasan itu supaya penduduk terlibat mendapat bekalan sumber air bersih,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping di Dataran Warisan di sini hari ini.

Semalam, penduduk Orang Asli di Kampung Kelatap, Pos Perwor dekat Sungai Siput membantah projek perlombongan kuari yang dijalankan dalam kawasan Hutan Simpan Piah.

Wakil penduduk, Sobri Abu Bakar, 39, mendakwa, kuari yang beroperasi di atas bukit di hulu penempatan penduduk itu telah mendatangkan pelbagai masalah terutama pencemaran kepada sumber air penduduk kampung.

Katanya, pelaksanaan projek itu bukan sahaja menyebabkan takungan punca air tersumbat, malah sisa buangan dari tandas pekerja kuari juga dipercayai disalur masuk ke anak sungai, menyebabkan air menjadi keruh.

Akibat pencemaran itu juga, ramai penduduk mengalami sakit seperti cirit-birit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN