PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), akur faktor ketidakstabilan ekonomi menyebabkan kebanyakan daripada industri perniagaan kecil di negara ini mengalami tekanan khususnya kemerosotan kehadiran pelanggan sehingga 20 peratus sejak kebelakangan ini.
Walau bagaimanapun, masih ada peniaga yang berjaya menangani cabaran tersebut malah mengalami peningkatan prestasi disebabkan oleh strategi yang bijak dan adaptasi kepada perubahan pasaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan yang juga pemilik Restoran Ali Maju Sdn Bhd berkata, perniagaan yang sedang dijalankan tidak menghadapi sebarang masalah dari segi penjualan mahupun kekurangan bekalan bahan mentah.
Katanya, perniagaan kini semakin baik malah penerimaan pelanggan juga agak memberangsangkan.
“Kami mengamalkan konsep perniagaan yang tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata. Faktor-faktor seperti layanan kepada pelanggan, persediaan makanan, kualiti dan juga kebersihan memainkan peranan utama dalam meningkatkan prestasi perniagaan.
“Walaupun terdapat kenaikan harga bahan mentah, namun kami tidak akan menaikkan harga sewenang-wenangnya. Dengan kos sara hidup yang agak tinggi pada masa kini, kami akan memastikan peningkatan harga yang dikenakan adalah sangat minima,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, peniaga makanan di Bagan Serai mendakwa perniagaan mereka terkesan disebabkan harga barang mentah yang semakin meningkat selain kuasa beli pengguna yang semakin berkurangan disebabkan faktor ekonomi.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah pula berkata, kekurangan bekalan dan penurunan permintaan pelanggan memberikan tekanan kepada industri makanan yang merupakan sebahagian penting dalam ekosistem perniagaan kecil.
Katanya, pihak kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi membantu peniaga kecil yang terkesan dengan bantuan dari segi kewangan, pemangkasan cukai serta peningkatan akses terhadap bekalan dengan harga yang lebih berpatutan.
“Peniaga-peniaga kecil menghadapi kesukaran mencapai sasaran keuntungan dengan kenaikan harga barangan yang memberikan impak negatif terhadap kos operasi sementara penurunan kuasa beli pengguna menjejaskan pendapatan perniagaan.
“Pihak berkuasa harus mempertimbangkan inisiatif pemulihan ekonomi yang lebih proaktif untuk merangsang kuasa beli pengguna,” katanya. –UTUSAN