Pesta lelong banjir di Rantau Panjang meriah

Pesta lelong banjir di Rantau Panjang meriah

ORANG ramai menyerbu premis yang mengadakan jualan lelong selepas Rantau Panjang, Kelantan dilanda banjir minggu. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Kawasan perniagaan di Rantau Panjang kembali meriah apabila peniaga mengambil kesempatan mengadakan pesta jualan lelong selepas kawasan itu ditenggelami banjir minggu lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata peniaga bertindak melelong barangan jualan yang ditenggelami banjir sebelum ini.

Pemilik perniagaan Wafa Berkat Enterprise, Nasir Gulbaz, 40, berkata, dia terpaksa melelong barangan di premisnya apabila ada yang sudah rosak akibat terendam banjir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, jualan barangan yang terjejas banjir itu merupakan salah satu langkah terbaik untuk meminimumkan jumlah kerugiannya.

“Jika tidak buat jualan lelong, kemungkinan besar saya akan tanggung kerugian mencecah jutaan ringgit. Jadi, saya melelong semua stok barangan yang dibasahi air banjir secepat mungkin.

“Saya tidak tahu sampai bila jualan ini akan dijalankan. Ia akan diteruskan sehingga stok habis. Selepas itu, baru saya boleh kira jumlah kerugian sebenar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Nasir memberitahu, kejadian itu adalah kali kedua premis perniagaannya terjejas banjir selepas tragedi bah kuning pada 2014 dengan kerugian direkodkan mencecah RM200,000 selepas jualan lelong dijalankan.

Katanya, dia menjual cadar dan alas tidur lada harga RM20 untuk tiga unit selain memberi percuma bantal-bantal yang terendam di dalam air kepada pelanggan.

Sementara itu, seorang pengunjung, Siti Syahidah Ahmad Razali, 40, berkata, dia tahu mengenai jualan itu melalui Facebook sebelum terus mengajak suaminya untuk mencari beberapa barangan kelengkapan rumah.

“Kami datang dari Machang dengan hajat mencari barangan seperti sejadah dan karpet. Kami ambil peluang melalui jualan murah ini kerana kadar harga ditawarkan jauh lebih rendah berbanding harga sebenar di pasaran.

“Kebiasaannya, memang ada jualan murah sebegini kerana peniaga akan cuba mengurangkan jumlah kerugian dengan menghabiskan stok barangan yang basah ditenggelami banjir,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini