IPOH: Seorang perunding berusia 37 tahun berputih mata apabila kerugian RM1.65 juta setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud melalui laman sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mangsa dari Taman Perak, Ipoh itu terjebak dengan pelaburan berkenaan pada September lalu selepas diperkenalkan oleh seorang kenalan yang dikenali melalui Facebook.
Katanya, individu tersebut telah mengajak mangsa untuk membuat pelaburan dalam pasaran unit matawang kripto melalui platform ‘unobitex’.
“Sejak 12 September lalu, mangsa telah memasukkan dana sebanyak 44 kali ke dalam akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,651,585.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas dia diminta membuat bayaran cukai Arab Saudi apabila ingin membawa keluar wang keuntungan pelaburan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa telah pun membuat laporan berkaitan penipuan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sementara itu, Mohd. Yusri menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah khususnya melalui aplikasi pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Orang ramai juga boleh menghubungi talian Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan tidak wujud dan telah membuat traksaksi ke akaun keldai,” katanya. – UTUSAN