Perkenal akta khas tangani kes buli

Perkenal akta khas tangani kes buli

EMPAT pelajar sebuah sekolah hadir bagi didakwa atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar tingkatan satu sekolah yang sama di Mahkamah Majistret Seremban Mei tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu segera menggubal dan memper­kenal akta antibuli bagi mena­ngani kes tersebut dalam kala­ngan pelajar dan kanak-kanak.

Akta Kanak-Kanak (2001) dan Kanun Keseksaan yang sedia ada sekarang dilihat tidak berkesan bagi menangani kes buli dan memberi keadilan kepada mangsa.

Keberkesanan akta buli ter­bukti seperti di Amerika Syarikat (AS) yang meluluskan un­dang-undang sama pada 50 ne­geri mereka, berjaya mengurangkan kegiatan tersebut sebanyak 20 peratus sejak akta berkenaan diperkenalkan.

Melalui laman web stopbullying.gov yang dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS melaporkan bahawa tiga komponen khusus dalam undang-undang antibuli mereka berjaya mengurangkan masalah buli yang berlaku.

Tiga komponen tersebut adalah pernyataan skop, penera­ngan jelas mengenai tingkah laku dilarang dan keperluan untuk sekolah membangun, me­laksanakan serta memantau da­sar tempatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kluster Politik, Go­vernans dan Perundangan di Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, satu undang-undang khusus yang dapat mengawal kegiatan buli perlu diperkenalkan.

Kata beliau, akta khas tersebut perlu bersifat menyeluruh yang mana ia merangkumi tindakan terhadap pembuli, merawat kesan buli terhadap mangsa dan juga mempunyai langkah mencegah daripada gejala tersebut berlaku.

“Kita sudah ada undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak (2001) dan Kanun Keseksaan. Saya rasa sebab itu tidak perlu akta baharu, di mana kita masih boleh menggunakan akta sedia ada khususnya melibatkan kecederaan serta kematian.

“Cuma mungkin apa diperlukan adalah satu undang-undang yang dapat mengawal kes-kes buli yang tidak membawa apa-apa kepada kecederaan fizikal, maknanya tindakan boleh diambil terhadap pelajar terlibat dengan buli dalam bentuk selain daripada fizikal.

“Melalui akta khas tersebut, kita boleh meletakkan pelajar berkenaan dalam pengawasan polis atau menghantar mereka ke Sekolah Henry Gurney. Di mana akta itu bukan sahaja menghukum tetapi turut memberi pengajaran kepada pembuli.

“Akta khas berkenaan buli juga perlu mempunyai peruntukan-peruntukan yang mencegah kegiatan tersebut daripada berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Selain daripada AS, akta yang khusus berkenaan buli turut diperkenalkan di Filipina, Kanada, Chile, Austria, United Kingdom dan Australia bagi mencegah trend kegiatan tersebut di dalam negara mereka.

Untuk rekod, di Malaysia, dalam tempoh tiga tahun lalu sahaja, sebanyak 9,207 kes buli direkodkan di seluruh negara dan dalam 10 bulan pertama 2023 menyaksikan peningkatan lebih 1,000 kes buli berbanding tahun 2022 (3,887 kes).

Senada dengan itu, pensyarah kanan kaunseling di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohamad Isa Amat berkata, sudah tiba masanya kitaran yang melahirkan pembuli di noktahkan demi negara.

Jelasnya, pembuli lahir daripada perasaan dendam dan trauma yang dihadapi melalui pengalamannya sebelum ini iaitu menjadi mangsa kepada kegiatan tersebut, mereka tidak dirawat serta ketiadaan proses intervensi untuk mengekang mereka.

“Apabila tidak ada proses intervensi, sama ada dari segi kaunseling atau psikologi, golongan ini rasa mereka perlu balas dendam atas apa yang mereka lalui sebelum ini. Jadi kita perlu putuskan rantaian kegiatan tersebut.

“Apabila tidak ada reda di dalam diri pembuli maka dia akan memindahkan perasaan marahnya kepada pelajar lain yang tidak ada kaitan pun dengan agenda atau dendamnya. Ini yang menjadikan masalah, kita tidak mahu kegiatan buli menjadi berterusan,” katanya.

Mohamad Isa berkata, akta anti buli perlu diperkenalkan bagi memastikan mangsa mendapat keadilan terhadap mangsa serta ahli keluarga yang terkesan dengan kegiatan tersebut.

“Jika lihat kepada peruntukan sedia ada di bawah Kanun Keseksaan, buli bukan satu bentuk ancaman, jadi apabila akta anti buli ini diwujudkan dan diluluskan, maka polis serta mahkamah boleh mengambil tindakan berdasarkan akta tersebut.

“Peruntukan undang-undang tersebut juga dilihat dapat melindungi semua pihak yang terlibat,” ujarnya.

Melalui portal MyHealth Kementerian Kesihatan (KKM) buli didefinisikan sebagai sesuatu tindakan dengan niat untuk menyakitkan hati dan memberi tekanan kepada seseorang.

Ia juga boleh dikatakan sebagai penderaan rakan sebaya (peer abuse), buli melibatkan serangan fizikal dan ancaman, mencuri dan peras ugut, penderaan lisan termasuk mengejek isu perkauman dan gangguan seksual. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN