Perak mahu e-sport dijadikan industri

Perak mahu e-sport dijadikan industri

MUHAMMAD Naim Al Amin Saharudin melihat komitmen Kerajaan Negeri Perak penting untuk menjadikan e-sport sebagai industri baharu bagi mencungkil bakat anak muda tempatan. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menjadikan hobi permainan video kepada satu industri pesat, merupakan antara fokus Kerajaan Negeri Perak memastikan perkembangan sosioekonomi meliputi pelbagai kelompok masyarakat.

Kerajaan Perak menyedari hal demikian kerana pertama, minat anak muda terhadap permainan video atau sukan elektronik (e-sport). Kedua, industri itu mempunyai nilai berbilion dolar di peringkat global.

Kesungguhan kerajaan negeri itu diterjemahkan menerusi penganjuran kejohanan e-Sport Piala Menteri Besar Perak, pada November 2023 lalu yang menarik penyertaan ratusan peserta.

Sumbangan serta peruntukan oleh Kerajaan Perak di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menjadi titik tolak penting perkembangan e-sport negeri itu dan Malaysia, sejajar dengan matlamat di bawah program Perak Sejahtera 2030.

Perkara itu diakui sendiri oleh Presiden Persatuan E-Sport Perak, Muhammad Naim Al Amin Saharudin yang gembira dengan komitmen kerajaan negeri.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Sukan Elektronik Malaysia melihat usaha itu sebagai perkembangan positif memandangkan nilai pendapatan e-sport di Malaysia telah mencecah lebih RM500 juta.

“Usaha ini dapat mengubah persepsi permainan video daripada sesuatu yang melalaikan, kepada sesuatu yang berfaedah. Ia mencipta peluang perniagaan kepada anak tempatan selain punca pendapatan.

“Komitmen ini juga menjadikan e-sport sebagai industri. Bermakna e-sport mencipta peluang pekerjaan seperti pemain, jurulatih serta pembantu teknikal,” katanya.

Muhammad Naim Al Amin juga berbesar hati apabila baru-baru ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah ibu bapa dan masyarakat seharusnya melihat e-sukan secara positif.

Beliau melihat e-sport sebagai industri terkini yang boleh mewujudkan kepakaran serta kreativiti baharu dalam kalangan anak tempatan seperti pereka grafik, pencipta dan pengeluar permainan video.

“Ia juga merupakan satu bentuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang boleh mencungkil bakat-bakat anak muda.

“Apatah lagi E-sport juga sedang diketengahkan dalam penganjuran sukan-sukan perdana seperti Sukan SEA, Sukan Asia selain mahu diusahakan menjadi acara Sukan Olimpik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN