Penjawat awam Pulau Pinang bebas rasuah - Utusan Malaysia

Penjawat awam Pulau Pinang bebas rasuah

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika membaca ikrar bebas rasuah pada majlis perhimpunan tahunan anggota perkhidmatan awam bilangan 1 di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Tiada sebarang kes berkaitan rasuah direkodkan melibatkan penjawat awam kerajaan negeri Pulau Pinang sepanjang tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Rosli Isa berkata, ia merupakan satu pencapaian yang baik bagi kerajaan negeri serta penjawat awam Pulau Pinang.

Malah, ujar beliau, Laporan Audit Negara juga menyatakan Pulau Pinang adalah antara negeri terbaik yang tidak mempunyai sebarang rekod melibatkan rasuah.

‘Berdasarkan rekod di Pulau Pinang tidak ada apa-apa kes melibatkan kerajaan negeri atau penjawat awam yang diambil tindakan tata tertib bersabit kes rasuah.

“Ini satu pencapaian yang baik daripada kerajaan negeri.

“Tuduhan-tuduhan memang ada sebelum ini, namun saya berpesan kepada semua kita  berhubung rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita kena pastikan kita bekerja dengan tulus ikhlas serta tidak berlaku sebarang penyelewengan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perhimpunan tahunan anggota perkhidmatan awam bilangan 1 bagi tahun ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Menurut Rosli, penjawat awam perlu menjaga imej kerajaan negeri iaitu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan mereka sebagai pemegang amanah.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, adalah menjadi kewajipan undang-undang kepada semua kakitangan awam untuk memberi kerjasama jika terdapat aduan atau siasatan membabitkan mereka.

Tambahnya, dalam usaha melaksanakan segala dasar, program dan projek yang telah dirancang, penjawat awam dituntut untuk bersikap adil, telus dan efisien dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Rasa tanggungjawab serta patriotisme dalam melaksanakan tugas perlu sebati dalam penjawat awam dengan kewajipan menyimpan segala rahsia kerajaan serta menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan peribadi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya