SABAK BERNAM: Pengguna Jalan Tebuk Mufrad menuju ke Jalan Haji Mat Yasin dan Jalan Parit Imun di sini, memohon pihak berkuasa memasang lampu dan membina bonggol bagi meningkatkan keselamatan di selekoh ‘maut’ di kawasan itu.
Laluan sepanjang dua kilometer (km) itu didakwa membahayakan kerana kekerapan berlakunya kemalangan sehingga ada yang terkorban.
Penduduk, Mohd. Nuri Mokhtar, 62, berkata sebanyak enam kenderaan termasuk seorang maut selepas terhumban ke dalam parit di selekoh jalan itu setakat ini.
“Laluan ini sememangnya sehingga kini tiada ciri-ciri keselamatan terutama penghadang parit. Bagi pengguna yang tidak arif dengan jalan itu, mereka berisiko untuk terbabas dan terperosok dalam parit,” katanya ketika ditemui hari ini.
Kata beliau, anak saudaranya antara salah seorang mangsa yang terbabas masuk ke dalam parit selepas gagal mengawal motosikal.
Bagi Mohd. Masdor Dalion, 53, jalan itu turut memerlukan lampu, bonggol berganda dan pemancar cat.
“Penghadang konkrit parit pernah dibina namun roboh selepas dirempuh kenderaan yang terlibat kemalangan enam bulan lalu. Justeru, ciri keselamatan perlu dipertingkatkan bagi mengelak kemalangan terutama menjelang musim perayaan,” tegasnya.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tebuk Mufrad, Zoolfadli Mohd. Said berkata, isu berkenaan telah diajukan kepada pihak berwajib.
“Pihak berkenaan perlu mengambil tindakan segera bagi memeriksa keadaan jalan di kawasan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










