PETALING JAYA: Anak kepada Allahyarham Anisah Ali, Pegawai Kanan Kastam yang maut dirempuh kenderaan tonto di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, lapan tahun lalu, kecewa kerana pelaku yang membawa kepada kematian ibunya belum ditangkap.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Afiq Luqman Mohd. Baharudin, 29, berkata, sehingga saat ini keadilan buat ibunya belum terjawab walaupun kes berkenaan mendapat perhatian umum semasa kejadian berlaku.
Rentetan itu, beliau mahu kerajaan melakukan inkues mengenai kematian ibunya diadakan dan suspek yang bertanggungjawab merempuh kenderaan dinaiki ibunya dibawa ke muka pengadilan.
“Saya juga berharap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dapat ditubuhkan bagi menyiasat kembali kes berkenaan.
“Sebagai anak, sudah tentu saya berasa kecewa terhadap nasib yang dialami oleh ibu ketika beliau sedang menjalankan tugas sebagai penguat kuasa. Tiada apa yang dipinta, melainkan pelaku dijatuhkan hukuman setimpal,” katanya.
Pada 2016, Anisah meninggal dunia selepas koma akibat kenderaan yang dinaikinya dirempuh kenderaan tonto sehari sebelum beliau meninggal dunia di lokasi berkenaan.
Insiden berlaku ketika pegawai kastam itu bersama dua rakannya sedang mengekori sebuah kenderaan yang disyaki membawa rokok seludup. – UTUSAN
KRONOLOGI 2016:
7 Oktober – Anisah bersama dua anggota kastam lain dirempuh oleh tonto semasa OPS Chimera di Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan.
8 Oktober – Arwah Anisah meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab (II), Kota Bharu, Kelantan.
13 Oktober – Sultan Muhammad V meluahkan rasa dukacita dan berharap nasib mangsa akan terbela.
2 November – Suspek utama, Mat Yeh yang melanggar mangsa serah diri kepada pihak polis selepas melarikan diri.
15 November – Mat Yeh dibebaskan oleh polis.
20 Januari 2019 – Laporan bedah siasat menyebut sebab kematian: Pengumpulan darah di dalam kedua-dua belah rongga dada dan paru-paru mengecut akibat daripada pelanggaran berkenaan.










