PBPKNM bantu mangsa banjir Raub

PBPKNM bantu mangsa banjir Raub

PAUL LEE Kok Sun (kanan) membantu mengangkat bakul makanan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di pekarangan Pejabat Tanah dan Daerah Raub di Raub, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia (PBPKNM) tidak ketinggalan turun padang memberi sumbangan bakul makanan kepada mangsa banjir yang berlindung di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), PBPKNM terpanggil melaksanakan tanggungjawab sosial membantu pasca banjir khususnya di kawasan terbabit di beberapa kampung di Mukim Hulu Dong dan Mukim Dong.

Setiausaha Agungnya, Ir. Paul Lee Kok Sun berkata, sebanyak 127 bakul makanan bernilai lebih RM11,000 disediakan bagi meringankan beban kewangan mangsa selepas banjir.

Katanya, persatuan itu prihatin dengan kesulitan mangsa banjir yang memerlukan sumber kewangan membeli barangan baharu seperti perabot yang rosak akibat ditenggelami air bah.

“Kesulitan mereka kita kongsi bersama dengan sumbangan barangan makanan daripada pihak persatuan. Ini bermakna mereka tidak keseorangan menghadapi musibah itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Pengarah New Century Brothers Sdn. Bhd. (NCB) berkata demikian selepas penyerahan bantuan kepada wakil Pejabat Tanah dan Daerah Raub, di sini semalam.

Pejabat Tanah dan Daerah Raub diwakili Ketua Penolong Pegawai Daerah Raub, Khairul Fahmi Yusof.

Antara kampung yang terlibat dengan musibah banjir di daerah ini ialah Kampung Peruas, Pamah Kulat, Pamah Rawas, Lechar, Bukit Pampong.

PAUL LEE KOK SUN

Mengulas lanjut, Lee Kok Sun berkata, PBPKNM bercadang memperluas bantuan kepada mangsa banjir bukan sahaja di Raub malah di daerah lain dan negeri yang terlibat banjir.

“Kami sangat komited berkongsi rezeki dengan mana-mana mangsa bencana alam termasuk banjir sekali gus dapat meringankan tekanan minda mereka,” katanya.

Menurutnya, pihak persatuan itu begitu dekat di hati rakyat termasuk orang Melayu kerana NCB yang diterajuinya sudah melaksanakan kira-kira 100 projek rumah kampung Melayu, Malay Reserved.

Katanya, hubungan baik sejak sekian lama dengan masyarakat Melayu mendorong persatuan dan NCB membantu dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada mereka yang memerlukannya.

Beliau sebagai Setiausaha Agung PBPKNM sejak 2018 dan Timbalan Pengerusi Persatuan Ping Pong Selangor menyokong usaha pembentukan masyarakat madani yang harmoni demi menjamin masa depan negara yang makmur.

Dalam pada itu, beliau berkata, NCB adalah sebuah syarikat perunding pengurusan dan kejuruteraan projek yang bergabung dengan Perunding CSS (CSS) sejak ditubuhkan pada Februari 2012.

“Syarikat kejuruteraan ini mempunyai pengalaman profesional selama 23 tahun dalam bidang pengurusan projek pembangunan. Pelbagai kepakaran NCB meliputi bangunan kediaman, komersial dan perindustrian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN