Pakai gogel proses kuih tradisional

Pakai gogel proses kuih tradisional

RAJA Nurul Wahida Raja Ramli (kiri) bersama dua lagi pekerja menggunakan gogel ketika proses membakar kuih-muih di gerai Kuih Asap Kelong di Manir, Kuala Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebuah gerai kuih tradisional di Kampung Padang Tengir, Manir dekat Manir di sini menjadi tarikan kerana tiga pekerjanya menggunakan pelitup muka, particulate respirators dan ‘gogel ketika proses membakar kuih-muih tradisional. 

Pemilik gerai ‘Kuih Asap Kelong’,  Nor Azilah Ali, 41, berkata, penggunaan alat tersebut adalah idea adik iparnya yang bekerja dalam industri petroleum dan gas agar pekerja merasa lebih selesa sepanjang membakar kuih tradisional termasuk akok, beker nyior, kuih bakar dan baulu.

Menurutnya, sebelum ini, mata sering pedih dan hidung tidak selesa kerana terpaksa menghidu asap yang  terhasil akibat penggunaan tempurung kelapa, sabut dan kayu sepanjang proses pembakaran kuih.

“Memang tak selesa nak buat kerja, sebab kita berdiri di dapur dalam keadaan panas tanpa henti, tak boleh tinggalkan kerana perlu menjaga suhu api yang tepat agar pembakaran kuih menjadi sempurna dan sekata.

“Nak bernafas pun susah, mata pula merah dan pedih sebab asap terlalu banyak. Dari situlah timbul idea untuk menggunakan dua peralatan tersebut sejak Disember 2020.

“Alhamdulillah, sekarang semua pekerja mampu berada di dapur dalam jangka masa lama setelah adanya dua pelitup muka tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ketika ini Nor Azilah dibantu tiga pekerja iaitu Raja Nurul Wahida Raja Ramli, 38, dan adiknya Nor Azura, 36, serta Rosmarliana Mohd. Yusof, 28.

Suaminya, Mohd. Nurdin Muhammad, 46, turut membantu melayan pelanggan di gerai untuk melancarkan perniagaan mereka.

Ketika ini, harga jualan akok dan beker nyior ialah RM1 sebiji, kuih baulu  80 sen sebiji manakala kuih bakar dijual RM6 sebiji.

Mengulas lanjut, Nor Azilah berkata, dia tidak menyangka gerai tersebut menjadi tular di media sosial hasil penggunaan pelitup muka tersebut.

“Ramai pelanggan dari luar termasuk Melaka dan Perak datang untuk melihat sendiri proses pembakaran kuih tradisional menggunakan penutup muka unik tersebut.

“Mereka menyifatkan idea tersebut unik dan istimewa kerana tidak pernah digunakan oleh mana-mana pekerja gerai kuih tradisional di tempat yang lain.

“Alhamdulillah kerana sekurang-kurangnya ini adalah identiti kami dan mampu melonjakkan lagi hasil jualan kuih tradisional ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN