PADU jadi sumber rujukan tunggal laksana inisiatif kerajaan

PADU jadi sumber rujukan tunggal laksana inisiatif kerajaan

Pegawai Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, Maimunah A.Rahman membantu penduduk PPR Salak Selatan mendaftar dan mengisi maklumat Pangkalan Data Utama (PADU) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan menjadi sumber rujukan tunggal kerajaan bagi 29.8 juta rakyat Malaysia dalam melaksanakan apa jua program pada masa hadapan termasuk pelaksanaan subsidi bersasar.

Berfungsi sebagai pangkalan data komprehensif merangkumi maklumat daripada 455 agensi sektor awam serta data dikemas kini rakyat, PADU mampu membantu kerajaan merangka dasar dan melaksanakan program pembangunan dengan lebih baik ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, keengganan individu untuk berdaftar ke dalam sistem PADU menyebabkan mereka berisiko tercicir dalam program bantuan dan inisiatif lain yang dirangka kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“PADU mempunyai beberapa manfaat kepada rakyat, antaranya membantu menambah baik pengurusan bantuan dan subsidi bersasar termasuk pelaksanaan subsidi petrol, diesel, elektrik dan tol.

“PADU akan dijadikan sumber rujukan tunggal bertujuan menentukan kumpulan sasar yang benar-benar layak menerima bantuan dan subsidi serta mengurangkan ralat kemasukan dan pengecualian, sekali gus meminimumkan risiko keciciran dan ketidaktepatan kumpulan sasar,” katanya.

Beliau berkata, sistem PADU yang dibangunkan itu juga diyakini mampu mengatasi masalah ketidakpadanan pekerjaan dihadapi sebahagian rakyat dan lain-lain isu.

“PADU mampu menangani isu ketidaksepadanan pekerjaan dan pendidikan dengan menyemak, mengemas kini dan mengisi maklumat di portal PADU, maklumat seperti pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan geografi akan menjadi input analisis.

“Daripada input tersebut kerajaan akan mengenal pasti individu mengalami isu ketidaksepadanan pekerjaan meliputi ketidaksepadanan menegak (tahap pendidikan), melintang (ketidakpadanan kursus/bidang dengan pekerjaan) dan geografi (lokasi negeri/daerah/mukim),” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, PADU juga dapat menjadi input bagi mengenal pasti dan mengatasi kesenjangan jaringan perlindungan sosial masyarakat.

“Berbanding dengan 16.3 juta penduduk bekerja, statistik menunjukkan lebih 40 peratus penduduk bekerja Malaysia tidak dilindungi daripada sebarang musibah pekerjaan.

“Begitu juga isu ketidakcukupan simpanan wang persaraan berada pada tahap serius apabila 6.3 juta ahli di bawah usia 55 tahun yang juga 48 peratus daripada keseluruhan pencarum mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun mereka setakat 30 September 2023. Jadi melalui PADU, sistem perlindungan sosial rakyat dapat diperkukuhkan,” katanya.

Sementara itu, sehingga semalam jumlah individu yang telah berjaya mendaftar di sistem PADU adalah seramai 953,138 orang dengan Selangor merekodkan jumlah tertinggi 208,336 orang.

Negeri kedua tertinggi adalah Johor dengan 102,758 orang, Sarawak (92,123); Perak (84,816); Sabah (74,486); Kuala Lumpur (63,101); Kedah (61,466); Pulau Pinang (50,880); Negeri Sembilan (47,894); Kelantan (46,062); Pahang (44,919); Melaka (30,502) dan Terengganu (29,596).

Tiga negeri mencatatkan jumlah pendaftaran kurang daripada 10,000 adalah Perlis dengan 8,616 orang; Putrajaya (5,225) dan Labuan (2,358). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN