KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) gagal dalam permohonannya untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berkait siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid memutuskan untuk menolak permohonan tersebut selepas mendapati ia tidak mempunyai merit di sisi undang-undang.
Mahkamah turut mendapati persoalan-persoalan yang ingin dirujuk ke Mahkamah Persekutuan menjadi akademik kerana persoalan serupa diputuskan dalam beberapa kes lain termasuk kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Mahkamah ini mendapati bahawa peruntukan Seksyen 84 (Akta Mahkamah Kehakiman 1964) tidak boleh digunakan untuk melayan persoalan undang-undang yang telah akademik.
“Pada masa sama, mahkamah ini turut berpendapat bahawa kuasa untuk mentafsir peruntukan Perlembagaan tidak eksklusif kepada Mahkamah Persekutuan sahaja. Mahkamah Persekutuan secara amnya adalah langkah terakhir bagi kesemua persoalan membabitkan Perlembagaan.
“Hanya segelintir kes luar biasa yang dinyatakan dalam Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dan persoalan-persoalan perundangan yang hendak dirujuk (oleh Muda) tidak tergolong dalam kategori tersebut,” kata Hakim Ahmad Kamal ketika membaca penghakiman ringkasnya.
Tiada sebarang perintah berhubung kos dan mahkamah kemudian menetapkan 6 Februari ini untuk pengurusan kes saman pemula itu.
Pada prosiding yang dijalankan secara Zoom itu, Muda diwakili peguam Lim Wei Jiet manakala SPRM dan Kerajaan Malaysia diwakili Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md. Ali.
Dua persoalan yang ingin dirujuk oleh Muda ke Mahkamah Persekutuan ialah sama ada badan penyiasatan jenayah termasuk SPRM hanya dibenarkan secara sah untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang digantung tugas menurut Perkara 125(5) Perlembagaan Persekutuan.
Satu lagi persoalan ialah sama ada pendakwa raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim yang berkhidmat menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Persoalan undang-undang itu adalah berkait dengan saman pemula parti itu terhadap SPRM dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan siasatan dan dapatan yang dibuat dalam siasatan terhadap Hakim Mohd. Nazlan.
Hakim Mohd. Nazlan merupakan Hakim Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Najib atas kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. dan menjatuhi penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib atas kesalahan yang dilakukan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Menerusi saman pemula yang difailkan pada 6 Mei 2023, ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan kedua (SPRM) tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat kecuali jika mereka digantung menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan atau dipecat menurut Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim mahkamah yang berkhidmat selain memohon deklarasi siasatan terhadap Nazlan adalah tidak berperlembagaan.
Sementara itu, ketiga-tiga plaintif menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama saman pemula berkata, media melaporkan bahawa SPRM memulakan siasatan terhadap Nazlan berkenaan dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya dan siasatan ini kononnya dimulakan berikutan laporan yang dibuat kepada SPRM.
Mereka mendakwa siasatan oleh SPRM terhadap hakim itu adalah satu pelanggaran oleh badan eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa. – UTUSAN