SELANGOR: Aktiviti haram ternakan ayam dan itik di kawasan perumahan terbengkalai di Taman Bukit Permai, Ampang diarah dihentikan serta-merta berkuat kuasa semalam.
Arahan itu dikeluarkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) setelah serbuan dibuat ekoran laporan Utusan Malaysia semalam berhubung tapak projek perumahan yang terbengkalai dijadikan tempat penternakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Hasil serbuan yang dijalankan mendapati beberapa reban ayam dan itik telah dibina di dalam kawasan zink berkenaan dan ke semua ternakan itu dimasukkan ke dalam trak MPAJ.
Notis dikeluarkan kepada pengguna tanah susulah aduan yang diterima mengenai ternakan itu sehingga menyebabkan bau busuk dan kotor di sekitar penduduk setempat.
Berdasarkan notis itu lagi, kesalahan tersebut adalah di bawah Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (akta 133) di mana membina struktur pondok dan reban ayam adalah perkara yang tidak dibenarkan.
Berikutan itu, pihak yang terlibat hendaklah membuka, meruntuhkan dan merobohkan struktur yang tidak dibenarkan, selain perlu membersihkan kawasan tersebut segera.
Menurut seorang daripada peniaga di kawasan tersebut yang enggan mendedahkan identiti berkata, dia berasa lega dengan tindakan pantas MPAJ kerana selama ini akiviti ternakan secara haram itu hanya menjadi bahan bualan di antara peniaga di sekitarnya sahaja.
“Kami takut hendak buat aduan selama ini sebab ada yang diugut, ada yang diberi amaran supaya kami hanya tutup mulut sahaja tentang kegiatan yang dijalankan,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat juga pihak yang terkejut dengan kegiatan haram dalam kawasan zink berkenaan kerana disangkakan hanya semak samun dan terbiar setelah aktiviti perumahan terbengkalai sejak 2015.
Semalam, akhbar ini melaporkan projek perumahan yang terbengkalai sejak 2015 di Taman Bukit Permai dipercayai dijadikan projek ternakan ayam dan itik secara haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tinjauan mendapati kawasan berkenan di zink sekelilingnya, malah beberapa lubang kecil ditutup menggunakan kanvas dan papan supaya projek haram itu tidak diketahui orang luar.
Kawasan dalam zink berkenaan juga dilihat penuh dengan semak samun dan pokok yang tinggi seolah-olah tiada sebarang projek dijalankan.
Pihak yang menjalankan aktiviti haram itu dipercayai sengaja untuk memperlihatkan kawasan tersebut seperti terbiar supaya tidak ada mana-mana pihak yang mengesyaki aktiviti haram mereka.
Keadaan di kawasan berkenaan pada waktu kini ditutup menggunakan tali kuning supaya tidak ada lagi mana-mana pihak yang mengambil kesempatan untuk menceroboh tanah tersebut dan membuat sebarang operasi secara haram. – UTUSAN










