Pengerusinya, Mint Leong Hoon Min berkata, banyak perubahan yang telah berlaku dalam industri pelancongan dan media sosial adalah medium yang terpantas dalam menyampaikan maklumat.
“Penggunaan televisyen atau radio tidak seperti dahulu, tetapi kini mereka ada pilihan lain di media sosial yang dapat menyebarkan banyak maklumat dengan cepat.
“Jadi kita boleh menangkis mana-mana isu buruk yang tular dengan menggunakan media sosial dalam masa 24 jam tanpa perlu tunggu kerajaan untuk mengeluarkan kenyataan rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas menghadiri sesi bersama ahli MITA dan pemain industri pelancongan di TC Garden Resort, Jalan Ulu Melaka, di sini, hari ini.
Mint Leong berkata, media sosial boleh menjadi medium yang menaikkan atau menjatuhkan satu-satu kawasan tarikan pelancongan bergantung kepada penggunaannya.
Tambahnya, ada sesetengah pihak yang gemar mempopularkan sesuatu destinasi dengan menggunakan publisiti negatif.
Menurutnya, bagi memastikan industri pelancongan tidak terpalit dengan perkara negatif, promosi menggunakan kaedah itu tidak sepatutnya dilakukan kerana akan menimbulkan salah faham dan tanggapan negatif kepada bakal pelancong.
“Ada pihak yang berkongsi perkara negatif di media sosial hanya untuk berkongsi pengalaman, namun impaknya adalah besar kepada pemain industri pelancongan.
“Jadi pemain industri pelancongan perlu terus aktif menggunakan media sosial bagi menjernihkan kembali sebarang isu negatif berkaitan pelancongan,” katanya. -UTUSAN