Masakan belut, belangkas digemari pelanggan antarabangsa

Masakan belut, belangkas digemari pelanggan antarabangsa

AHMAD Ismail dan isterinya, Nor Faridah Jamil menunjukkan belangkas yang belum dimasak di Warong Excotic P. Nor di Sungai Manik, Pasir Salak, Perak. - UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Menawarkan masakan eksotik berasaskan haiwan dan ikan seperti belut, landak, belangkas, burung unta dan ayam belanda menjadikan Warong Excotic P. Nor di sini, berbeza berbanding restoran lain.

Seunik namanya, terletak di Parit 12A, Sungai Manik di sini, restoran ini turut menggamit pengunjung tempatan dan antarabangsa seperti Kanada, Jepun dan Thailand untuk menikmati makanan eksotik itu.

Pemiliknya, Ahmad Ismail, 72, berkata, sambutan yang diterima cukup baik kerana majoriti pelanggan biasanya memilih menikmati masakan berasaskan belut sebelum beralih kepada makanan eksotik lain.

“Biasanya pelanggan Melayu, Cina dan India pesan belut masak goreng kunyit, tepung, goreng berlada dan tempoyak kerana kelazatannya selain dipercayai mampu meningkatkan tahap kesihatan seseorang.

“Kata mereka makan belut dengan kerap dapat menguatkan tulang dan melindungi kulit selain petua awet muda,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, pelanggannya turut menggemari daging landak namun stoknya amat terhad dan sukar didapati.

“Kami nasihatkan mereka membuat tempahan terlebih dahulu kerana keterbatasan stok dan tidak mahu menghampakan pelanggan yang sanggup datang dari Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan.

“Menjual daging landak memerlukan lesen khas Jabatan Perlindungan dan Taman Negara (Perhilitan) selain setiap masakan daging haiwan itu perlu direkodkan.

“Kebanyakan stok daging itu kami peroleh daripada pembekal berlesen di sekitar Perak,” katanya yang lebih enam tahun mengusahakan restoran itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelanggan turut menggemari belangkas, burung unta dan ayam belanda kerana menu itu jarang didapati di restoran-restoran lain.

“Selain itu, kami turut menyediakan masakan kepala, kulit dan kaki lembu serta kepala kambing kerana yang menu istimewa itu ada segelintir pelanggan yang suka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×