Majlis Peguam tegas sokong Palestin, sedia bantu dakwa Israel

Majlis Peguam tegas sokong Palestin, sedia bantu dakwa Israel

Karen Cheah Yee Lynn
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Peguam Malaysia mengulangi pendiriannya yang tegas menyokong Palestin dan mengutuk kekejaman rejim Israel ke atas penduduk awam di wilayah Gaza.

Perkara tersebut disuarakan Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn sebagai merujuk konflik berdarah yang memasuki hari ke-100 semalam dan membunuh lebih 25,000 nyawa.

“Justeru, kami hari ini ingin mengumumkan sokongan teguh terhadap saudara kita yang menderita di sana,” katanya berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024.

Perang yang melanda Gaza sejak 7 Oktober lalu menyaksikan pelbagai pihak di negara ini tampil menzahirkan sokongan ke atas rakyat Palestin sejajar dengan pendirian Malaysia.

Pada 1 November lepas, Karen menerusi kenyataannya berkata, Majlis Peguam Malaysia mendesak kedua-dua pihak menghentikan konflik itu selaras Konvensyen Geneva 1949.

Israel malahan boleh didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana negara haram itu turut memeterai Statut Rom yang mencegah isu pembunuhan massa.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Majlis Peguam Palestin menghubunginya baru-baru ini bagi memohon sokongan untuk mengheret rejim Zionis ke muka pengadilan.

“Saya memberitahu mereka yang kami kutuk kekejaman pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang oleh Israel serta menyokong penuh tindakan Afrika Selatan,” tegasnya.

Beliau merujuk langkah negara bekas Apartheid itu yang melakar sejarah mengheret Tel Aviv ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda pada minggu lepas.

Sehubungan itu ujar Karen, Majlis Peguam Malaysia juga bersedia memberikan sebarang bentuk bantuan kepada Afrika Selatan dalam prosiding dilaksanakan mahkamah tersebut sekali gus membuktikan pendirian tegas mereka agar tiada negara yang sengaja melakukan jenayah pembunuhan massa kononnya sebagai alasan pertahanan.

Sementara itu, beliau meminta kerajaan agar mempertimbangkan semula untuk menyertai Statut Rom yang pernah dimeterai pada 2019 sebelum kemudian bertindak menarik diri.

Katanya, pihak kerajaan mungkin terkhilaf apabila keluar daripada perjanjian berkenaan dan memilih untuk tidak menjadi anggota ICC kerana desakan keras kelompok tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya