`Mafia' tentukan harga padi, beras, benih

`Mafia’ tentukan harga padi, beras, benih

`Mafia' padi menguasai industri itu hingga boleh menentukan harga padi, beras dan benih. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kartel atau ‘mafia’ padi didakwa dimonopoli empat ke lima syarikat besar sejak sekian lama dan telah mencorak hala tuju industri padi negara sehingga tercetusnya isu benih padi yang berlarutan setiap musim serta masalah bekalan beras.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman mendakwa, syarikat terlibat juga mempunyai kilang-kilang padi di bawah penguasaan mereka termasuk mengeluarkan benih.

Dakwanya, kartel-kartel tersebut berperanan cukup besar yang menentukan harga padi, beras dan pembekal benih padi sehingga ada yang mengetepikan arahan kerajaan.

Beliau mendakwa, kartel-kartel tersebut juga memonopoli beras di peringkat nasional iaitu lebih 60 peratus pengeluaran beras negara.

“Terdapat antara empat ke lima syarikat besar ini di mana di bawah mereka ada lagi kilang-kilang yang juga mengeluarkan benih padi. Mereka sebenarnya sudah mencorak hala tuju industri padi negara.

“Sistem yang ada perlu diubah dengan mengeluarkan satu sahaja lesen kepada mereka untuk buat pilihan sama ada lesen kilang padi atau lesen buat atau mengeluarkan benih. Isu kartel ini bukan baharu malah sudah lama berlarutan,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan kira- kira 71,000 pesawah dalam Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berdepan kerugian sehingga RM40 juta semusim jika mereka lewat mengusahakan sawah disebabkan tiada benih padi.

Isu kelewatan mengagihkan benih kepada pesawah di Kedah dan Perlis bawah MADA yang semuanya berkeluasan 100,000 hektar bukan perkara baharu tetapi berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Marzukhi mengesyorkan agar hak dan lesen pengilangan benih padi sah hanya diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan sebagainya.

“Mereka yang dilantik itu juga hanya membekalkan benih kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk tujuan agihan kepada pesawah setempat.

“Selain itu, kerajaan juga diminta sediakan benih 30 hari lebih awal sebelum jadual penanaman padi bermula agar tidak memberi masalah kepada pesawah kelak.

“Bagi mengatasi isu manipulasi beras pula, kerajaan juga dicadangkan mewujudkan satu sahaja gred beras tanpa perlu label import atau tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban pula berkata, kartel-kartel yang wujud khususnya melibatkan syarikat atau kilang besar ini yang selalunya bermain’ harga’ dan bekalan benih padi.

“Mereka lazimnya menguasai termasuk dalam isu benih padi ini. Setiap musim akan dapat disaksikan masalah kelewatan bekalan berulang termasuk berkaitan harga benih.

“Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan perlu mengambil alih urusan mengeluar dan bekalan benih padi ini bagi menjamin kualiti serta mengatasi masalah kelewatan ini,” katanya.

Katanya lagi, kartel atau ‘mafia’ padi yang menguasai ini terus menyebabkan para pesawah tertekan setiap kali musim menanam padi dan ketika menjual hasil tuaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN