Lembaga Pengampunan bincang nasib Najib hari ini?

Lembaga Pengampunan bincang nasib Najib hari ini?

Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Alsultan Abdullah akan bermesyuarat hari ini dan difahamkan turut bincang pembebasan Najib Tun Razak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat hari ini dengan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan difahamkan salah satu agenda mesyuarat adalah mengenai pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, setakat ini mesyuarat tersebut dijadualkan berlangsung hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai agenda mesyuarat berkenaan memandangkan ia adalah perkara sulit.

“Setakat hari ini yang saya dimaklumkan mesyuarat tersebut akan berlangsung esok tetapi tak tahulah jika ia ditangguhkan lagi memandangkan sudah beberapa kali mesyuarat berkenaan dipinda tarikhnya.

“Apa yang saya boleh sahkan adalah mesyuarat Lembaga Pengampunan itu akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong itu merupakan mesyuarat terakhir Seri Paduka sebelum menamatkan tempoh pemerintahan esok.

Setiap negeri mempunyai Lembaga Pengampunan sendiri, dilantik sama ada oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri, kecuali Wilayah Persekutuan.

Bagi Wilayah Persekutuan, anggota Lembaga Pengampunannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, termasuk Perdana Menteri kerana Wilayah Persekutuan berada bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.

Lembaga Pengampunan terdiri daripada lima ahli iaitu Peguam Negara, Ketua Menteri atau Menteri Besar dan maksimum tiga ahli lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah negeri.

Najib kini menghadapi hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu mula menjalani hukuman penjaranya pada Ogos 2022.

Selain itu, beliau juga sedang dibicarakan untuk pertuduhan lain berkaitan skandal 1MDB.

Media tempatan sebelum ini memetik kenyataan orang kepercayaan Najib berkata, terdapat ‘suasana positif’ mengenai petisyen pengampunan itu sekiranya permohonan itu didengar dalam mesyuarat bulan ini.

Bulan lalu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pasukannya akan menulis surat ke Putrajaya untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai permohonan Najib untuk pengampunan diraja, yang difailkan hampir 10 bulan lalu.

Namun, Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri 10 Januari lalu tidak membincangkan perkara yang membabitkan Lembaga Pengampunan termasuk kes bekas Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN