Krisis di Laut Merah tak jejas import makanan negara

Krisis di Laut Merah tak jejas import makanan negara

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Krisis yang berlaku di laluan Laut Merah tidak memberi kesan besar atau menjejaskan import sektor makanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia berikutan tidak banyak bekalan makanan negara diimport menerusi laluan tersebut kerana kebanyakannya digunakan bagi aktiviti perdagangan minyak.

“Kawasan (laluan) itu kita tak banyak import produk pertanian, lain lah kalau (konflik yang berlaku) di Ukraine-Russia dahulu (babitkan) seperti gandum dan jagung.

“Kawasan (Laut Merah) itu berkaitan (aktiviti) minyak dan kita akan lihat kesannya itu mungkin dalam beberapa minggu akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baru Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Tahun 2024 di sini hari ini.

Semalam, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa syarikat perkapalan Malaysia bersedia menghadapi gangguan berpanjangan yang berlaku di Laut Merah, berikutan krisis keselamatan semakin buruk di rantau itu sehingga memaksa syarikat kapal melencong ke laluan yang lebih jauh.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai menggesa syarikat perkapalan termasuk pengeksport dan pengimport supaya meneliti strategi perniagaan masing-masing untuk melindungi rantaian bekalan, meminimum kelewatan bagi memenuhi permintaan pelanggan, di samping mengurangkan kesan krisis di Laut Merah.

Terdahulu, kumpulan Houthi sebelum ini mendakwa menyerang kapal yang transit di Laut Merah bagi mempamerkan solidariti mereka kepada penduduk Palestin yang terjejas akibat pengeboman berterusan Zionis ke atas Gaza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN