PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan untuk menyegerakan mekanisme pelaksanaan naik taraf lesen memandu motosikal kelas B2 kepada B secara automatik dalam masa terdekat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum pelaksanaan itu dimuktamadkan, beberapa perkara perlu dipertimbangkan iaitu had umur dan tempoh pemilikan lesen memandu motosikal.
Beliau berkata, pelaksanaan naik taraf itu juga akan dimuktamadkan dalam mesyuarat terperinci antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.
“Apa yang kami bincangkan tadi, ada tempoh tertentu dari segi umur iaitu pemohon itu mesti berumur 35 tahun ke atas.
“Keduanya, individu juga perlu memegang lesen B2 untuk satu tempoh yang tertentu, baru layak untuk mendapat B full. Perkara ini kita akan dimuktamadkan dalam mesyuarat dengan JPJ dan JSPT,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Bersama Persatuan Motosikal Malaysia di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid pada Ogos 2023 pernah mencadangkan untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik.
Malah, isu sama turut dibangkitkan oleh peserta sesi libat urus hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Sementara itu, Loke berkata, keputusan menaik taraf kepada lesen B tidak mudah kerana statistik JSPT menunjukkan kemalangan jalan raya paling banyak melibatkan mereka yang berumur dalam kalangan 16 hingga 35 tahun.
“Kita perlu lihat data, kalau budak yang baru dapat lesen B2 diberi lesen B, dia akan bertindak sewenang-wenangnya. Kalau berumur sedikit mungkin lebih berpengalaman,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, jumlah kematian penunggang motosikal akibat nahas jalan raya pada tahun lalu meningkat 10 peratus kepada 4,480 kemalangan maut berbanding 4,071 kes pada tahun 2022.
“Apa yang kami putuskan di mana kita mendengar saranan persatuan motosikal, antaranya apabila ada acara permotoran diadakan, mereka minta JPJ dan MOT untuk libat urus dengan mereka dan melakukan beberapa pendekatan pendidikan,” katanya.
“Tahun ini kita berazam dengan adakan beberapa program termasuk penguatkuasaan dan pendidikan dan engagement dengan persatuan permotoran untuk turunkan kadar kematian kepada 50 peratus menjelang 2030,” katanya.
Jelasnya lagi, wujudnya keperluan pendekatan pendidikan keselamatan jalan raya bukan di sekolah sebaliknya di peringkat komuniti dan berharap ia diperkasakan menerusi kerjasama rentas agensi termasuk Kementerian Pendidikan, ibu bapa, dan penglibatan guru.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju menggabungkan dua Jawatankuasa Kabinet dibawah Kementerian Pengangkutan iaitu Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya dan Jawatankuasa Kabinet Keselamatan Jalan Raya.
“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya pagi tadi, kami juga memutuskan untuk mempertingkatkan kekerapan mesyuarat daripada satu atau dua kali setahun kepada tiga kali setahun,” katanya. – UTUSAN